Tuesday, December 14, 2010
Roy: Saya Atau Mereka Yang Tak Profesional?
KUALA LUMPUR 13 DIS 2010: Tidak terlintas mahu memperbesarkan cerita sebaliknya penerbit Teater Muzikal Tun Mahathir (TMTM2), Siti Rohayah Atan menjelaskan, apa yang diceritakannya, hanyalah sekadar untuk memberitahu perkara yang sebenar.
Jauh sekali ingin mensensasikan perkara tersebut, kata Siti Rohayah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Roy, apa yang dikongsinya tempohari hanyalah sekadar menjawab persoalan para wartawan yang bertanyakan mengenai ketiadaan dua pelakon utama teater itu iaitu Erra Fazira dan Zizan Nin.
"Saya hanya menjawab soalan para wartawan mengapa Erra dan Zizan tak dapat turut serta untuk musim kedua ini. Saya menjawablah Erra tak dapat sertai kerana jadualnya yang padat dan Zizan pula disebabkan pihak pengurusannya meminta bayaran sangat tinggi.
Sekarang ini, mereka kata saya tak profesional pula apabila memberitahu hal yang sebenar. Saya hanya memberitahu secara jujur mengenai perbincangan saya dengan pihak pengurusannya.
"Isu profesional atau tidak profesional tidak seharusnya wujud kerana saya tak mendedahkan hal-hal yang berkaitan dengan mengenai intipati kontrak. Jika saya mendedahkan intipati kontrak, ye memang betullah saya ni tak profesional. Sebaliknya apa yang saya lakukan hanyalah memberitahu hasil perbincangan yang belum ada hitam putihnya.," katanya dalam nada yang tenang.
Menyambung perbualan jelas Kak Roy, pihak Zizan yang sebenarnya bertindak tidak profesional apabila mendedahkan bayaran yang diterima pada musim pertama iaitu sebanyak RM15,000 ribu.
"Ingin saya perbetulkan kenyataan mereka. Memang pada awalnya bayaran yang diterima Zizan adalah sebanyak RM15,000. Namun, bayaran terhadap Zizan kemudian ditambah sebanyak RM 5,000 apabila teater tersebut dilanjutkan tempoh tayangannya. Bermakna, bayaran keseluruhan yang diterimanya adalah sebanyak RM20,000.
"Kalau hendak diikutkan di sini, merekalah yang sebenarnya tidak profesional kerana mendedahkan soal bayaran yang telah pun ditandatangani. Kita kalau dah ikat kontrak sepatutnya tak boleh beritahu kepada umum,' ujarnya kepada murai.com.my.
Tambahnya lagi, dia perlu bersikap adil kepada para pelakon yang sedia ada kerana watak Tun Mahathir itu dijayakan oleh tiga orang dan sekiranya permintaan pihak pengurusan Zizan dipenuhi, dia juga perlu melunaskan bayaran yang sama rata kepada pelakon yang lain.
"Zizan bawa watak Tun semasa remaja, kalau saya tunaikan permintaan mereka bermakna saya juga perlu memberikan bayaran tersebut kepada yang lain. Lagipun permintaan yang diminta sangat tinggi dan rasanya tak pernah berlaku dalam sejarah kejadian seperti ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Kak Roy turut menafikan dakwaan pihak pengurusan tersebut yang mengatakan perbincangan antara mereka hanyalah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Katanya, "Saya ada berjumpa sebanyak dua kali dengan pihaknya, namun tak ada kata putus diterima. Kemudian barulah kami bersms untuk berbincang lagi,".
Mengakui malu dengan apa yang berlaku kata Kak Roy, setelah bertahun menerbitkan puluhan teater dia tidak pernah berdepan dengan masalah sebegini. Malahan pengalamannya sebagai pengkarya seni bukanlah sedikit bahkan dia juga telah berurusan dengan ramai artis popular.
"Saya tak kisahlah kalau mereka mahu memanjangkan cerita itu hak mereka. Tapi bagi saya kini saya mahu fokus dan melunaskan tanggungjawab saya," katanya yang akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memperkenalkan dua pelakon baru yang bakal mengantikan tempat Erra dan Zizan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment