Monday, December 6, 2010

Sesak teruk kerana demonstrasi

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Semua laluan memasuki ibu kota mengalami kesesakan luar biasa hari ini apabila dua perhimpunan dianjurkan serentak di Masjid Negara dan Stadium Merdeka di sini yang menganggu aktiviti hujung minggu orang ramai.
Perhimpunan pertama oleh mereka yang membantah kenaikan 37 peratus tarif air di Selangor anjuran kumpulan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menjadi antara punca utama kesesakan kerana para penyokongnya berhasrat untuk berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara.
Kumpulan itu memilih Masjid Negara untuk berkumpul bagi mengelakkan pihak berkuasa membuat tangkapan tetapi dalam masa yang sama ia telah menjejaskan aktiviti dan ibadat orang ramai di masjid itu.
Tindakan hampir 4,000 orang yang membantah kenaikan tarif air itu memburukkan lagi kesesakan laluan utama di ibu negara apabila mereka cuba berarak ke Istana Negara, walaupun polis telah melakukan pancutan air bagi meleraikan perhimpunan.
Situasi yang semakin tidak terkawal itu memaksa pihak polis menutup beberapa jalan utama ke ibu negara dari pukul 10 pagi sehingga 5 petang bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, seramai 48 individu termasuk seorang ‘Yang Berhormat’ ditahan kerana cuba berarak ke Istana Negara dan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis lewat petang ini.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.
Tambah Zulkifli, beliau kecewa dengan tindakan kumpulan terbabit yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa malah bertindak agresif dengan membaling batu ke arah anggota polis yang mengawal keselamatan.
“Undang-undang melarang perhimpunan dan perarakan sedemikian kerana selain menganggu ketenteraman awam, ia juga merosakkan harta benda awam, menyusahkan orang ramai dan merugikan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 200 ahli GAPS berhimpun di hadapan Stadium Merdeka di sini hari ini sebagai membantah 30 penyelewengan yang dikatakan dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sejak mentadbir negeri itu.
Mereka bagaimanapun bersurai selepas dinasihatkan pihak polis yang kemudiannya mengiringi Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mengenai penyelewengan itu.
Hamidzun ketika ditemui berkata, tujuan GAPS menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya perkara itu dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang.
Selain daripada menjejaskan perniagaan pusat beli-belah yang sedang mengadakan jualan hujung tahun, difahamkan kesesakan juga menganggu majlis-majlis perkahwinan yang diadakan di beberapa tempat di ibu kota kerana para jemputan tidak dapat hadir.

No comments:

Post a Comment