Monday, December 6, 2010

Semangat masih membara


PENYERANG Malaysia, Mohd. Safee Sali diapit dua pemain Thailand pada perlawanan Piala AFF di Jakarta, kelmarin. – REUTERS

KUALA LUMPUR – Semangat Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 belum padam biarpun ramai yang berpendapat skuad kebangsaan seperti telur dihujung tanduk selepas seri 0-0 dengan Thailand, kelmarin.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Laos esok adalah penentu nasib skuad bimbingan K. Rajagobal dan dalam masa yang sama mereka turut berharap Indonesia menewaskan Thailand pada hari yang sama.
Indonesia yang menjadi pasukan pertama melayakkan diri boleh memilih untuk merehatkan tonggak utama berdepan Thailand esok, namun kita tidak perlu terlalu memikirkan tentang cabaran lain, kecuali fokus kepada diri sendiri.
Indonesia sudah pasti tidak mahu mengulangi peristiwa buruk 1998 di mana mereka menentang Thailand pada perlawanan peringkat kumpulan dan masing-masing tidak mahu menjadi kemenangan bagi mengelak bertemu tuan rumah Vietnam.
Keputusan yang seakan berakhir dengan seri 2-2 bertukar menjadi kemenangan berpihak kepada Thailand 3-2 selepas pemain Indonesia, Mursyid Effendi sanggup menjaringkan gol sendiri di masa kecederaan mengakibatkan Mursyid digantung seumur hidup tidak boleh beraksi bersama pasukan Indonesia.
Ini bermakna peristiwa yang kurang semangat kesukanan itu tidak akan berulang lagi, Indonesia sudah pasti mahu mengekalkan rekod kemenangan ketika beraksi di gelanggang keramat, Bung Karno.
Mereka juga dilatih oleh jurulatih berpengalaman dan berpengaruh di Asia Tenggara, Alfred Riedl yang mahu menamatkan penantian meraih kejuaraan selepas gagal berbuat demikian bersama pasukan Vietnam.
Melihat kepada perlawanan kedua menentang Thailand kelmarin, banyak perubahan yang dilakukan oleh Rajagobal, serentak dengan itu juga ada peningkatan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat perlu dikekalkan berikutan prestasinya yang sedang memuncak ketika ini, termasuk tidak melepaskan sebarang gol dalam perlawanan menentang Thailand.
Rangkaian pertahanan juga tidak perlu dirombak kecuali jika Rajagobal mahu sedikit tenaga tambahan untuk memperkuatkan jentera serangan, Mohd. Sabre Mat Abu boleh menggantikan Asraraddin Putra Omar di pertahanan kiri.
Gandingan Safiq Rahim dan Amar Rohidan harus dikekalkan, namun mereka perlu membantu pertahanan kerana corak permainan Laos amat pantas, malah hampir mengejutkan Thailand pada aksi pertama.
Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali sudah pasti kekal sebagai penyerang utama tetapi untuk menambah sengati, S. Kunanlan harus kreatif.
Apa pun peluang Malaysia belum tertutup jika semangat pingat emas Sukan SEA 2009 ditiupkan kembali, kita mampu melangkah ke separuh akhir sambil melupakan kegagalan dibelasah Indonesia 5-1 secepat mungkin.
Sementara itu dalam saingan Kumpulan B semalam, Singapura menewaskan Myanmar 2-1, manakala Filipina menang 2-0 ke atas Vietnam.

No comments:

Post a Comment