Monday, December 13, 2010

Hadiah RM1j jadi tarikan

KUALA LUMPUR - Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 tiada masalah untuk memikat pasukan ternama dunia, khususnya kelab berkualiti dari Eropah untuk berkayuh pada kejohanan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh menegaskan, hadiah kemenangan hampir RM1 juta ditawarkan, menjadi tarikan kelab ternama dari Eropah untuk menghantar pelumba yang kuat.
Namun katanya, pihaknya menitikberatkan kepentingan nasional, khususnya insentif dan hadiah kemenangan bakal dimenangi pasukan kebangsaan Malaysia serta kelab benua yang mewakili negara ini.
"Kami tiada masalah untuk melengkapkan senarai sekurang-kurangnya 21 pasukan untuk berkayuh pada edisi ke-16 tahun depan.
"Kita boleh jemput pasukan ternama dari Itali, Perancis, Sepanyol atau Britain dengan pelbagai insentif termasuk penginapan berkualiti, laluan menarik dan yuran penampilan yang lumayan.
"Pada masa yang sama, kita naikkan hadiah kemenangan kepada lebih RM1 juta. Begitupun, adakah cara ini bagus untuk masa depan pasukan kebangsaan Malaysia? Pelumba negara ini perlu bersaing dengan pelumba profesional yang berlatih sepenuh masa.
"Saya ingin bertanya adakah ini bagus untuk masa depan pasukan kebangsaan. Saya rasa pasukan seperti Androni bimbingan Gianni Savio yang sudah mengesahkan penyertaan, mereka sebuah pasukan kuat dan hebat.
"Pelumba dari kelab Androni pernah dilamar pasukan ternama seperti Lampre. Androni juga pernah melahirkan pendaki handalan seperti Ruber Marin, Hernan Dario Munoz dan Jose Serpa.
"Kelab itu pernah melahirkan pemecut yang terkenal dan meletup di Tour de France 2010 iaitu Allesandro Petacchi. Jadi banyak yang boleh dipelajari oleh pasukan kebangsaan Malaysia daripada pasukan yang berkayuh di LTdL 2011," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Pada masa yang sama, Mohamed mendedahkan pasukan kebangsaan Korea Selatan dilaporkan menghadapi masalah untuk menyertai kejohanan edisi ke-16.
Namun, penganjur akan daripada semasa ke semasa berhubung dengan Persekutuan Berbasikal Korea (KCF).
"Kita belum dapat kenal pasti apa masalah sebenar dihadapi pasukan kebangsaan Korea Selatan. Bagaimanapun saya pasti mereka akan tetap menyertai Le Tour de Langkawi 2011," katanya.
Pasukan kebangsaan Korea Selatan adalah satu daripada tiga pasukan kebangsaan iaitu Malaysia dan Afrika Selatan yang sudah menerima jemputan rasmi untuk berkayuh pada LTdL 2011.
LTdL 2011 kejohanan bertaraf 2HC dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Kejohanan edisi ke-16 akan kembali bermula di Pulau Langkawi pada 23 Januari ini dan ia berakhir pada 1 Februari di Dataran Merdeka.

No comments:

Post a Comment