KOTA BHARU - Pengurus Kelantan, Nudin Awang bangga dengan kejayaan pasukannya memenangi perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja dengan keputusan 4-3 menerusi penentuan penalti ke atas Kedah di Stadium Sultan Muhamed IV, kelmarin.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah pelengkap tahun kegemilangan bola sepak Kelantan, selepas Red Warriors menjulang Piala Malaysia Oktober lalu.
"Saya berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan oleh pemain. Walaupun beraksi di atas permukaan padang yang becak, mereka memberikan yang terbaik.
"Berdepan Kedah bukanlah tugas yang mudah, namun berkat kerjasama sebagai pasukan, akhirnya kita muncul juara," katanya.
Tambahnya, kejayaan tersebut cukup berharga buat Kelantan, yang muncul juara pada tahun 2008.
"Tahun lepas kita hanya mara ke suku akhir, namun musim ini kita berjaya menebus kembali kehampaan tersebut," ujarnya.
Nudin turut memuji penjaga gol, Mohd. Shahrizan Ismail yang mempamerkan aksi cemerlang, yang menafikan dua sepakan penalti Kedah.
"Shahrizan pemain yang hebat, walaupun lama tidak beraksi, pengalaman yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin pada perlawanan ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Nudin memberitahu, bonus kemenangan sumbangan beliau sudah diagih-agihkan kepada pemain, sebaik sahaja bergelar juara.
"Bonus ini adalah sebagai penghargaan di atas kesungguhan pemain dan pengurusan, yang telah memberikan aksi terbaik sehingga kita bergelar juara," katanya.
Pada perlawanan tersebut, ketenangan pemain vateran, Khairan Ezuan Razali menyempurnakan sepakan penalti, memberikan kemenangan 4-3 ke atas Kedah, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit permainan.
Gol Kelantan dijaringkan oleh Rosairil Asrol Mat Nor, Mohamad Aris Zaidi, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali dan Khairan Ezuan Razali, manakala gol Kedah pula dijaringkan oleh Ahmad Fauzi Shaari, Shafizan Hashim dan Mohd. Firus Hashim.
No comments:
Post a Comment