KUALA LUMPUR, 2 DIS 2010: Artis, gosip dan kontroversi tidak mampu dipisahkan. Naik dan turun populariti seseorang artis atau selebriti secara tidak langsung turut dinilai menerusi segala kisah yang tercalit sepanjang diri mereka bergelar insan seni. Dek kerana itu, dunia hiburan tidak pernah sunyi dengan gosip dan kontroversi yang sengaja atau tidak sengaja dicipta oleh mereka.
Ada yang suka dan ada juga tidak begitu menggemari dengan palitan gosip dan kontroversi yang singgah untuk seketika dalam kehidupan mereka. Kadang kala, jalan pintas untuk menidakkan segala gosip dan kontroversi ialah dengan menyalahkan medium media sendiri.Umpama membaling batu dan menyorokkan tangan mungkin pepatah yang sesuai diberikan kepada segelintir artis yang bersikap sebegitu.
Namun tidak dapat dinafikan masih wujud beberapa artis yang berani mengakui segala kisah yang tercipta akibat kekhilafan masing-masing.Sama ada gosip dan kontroversi yang tidak mampu dipisahkan daripada mereka, atau mereka sendiri yang membuka ruang untuk dihinggapi perkara tersebut, biarlah hanya peminat yang menilaikannya.
Tahun 2010 ini menyaksikan pelbagai gosip dan kontroversi melingkari diari kehidupan golongan selebriti ini.Sebagai penutup tirai penghujung tahun ini, murai.com.my ingin membawa pembaca semua menyingkap sorotan gosip dan kontroversi yang melanda artis masa kini.
Bukan mahu membuka pekung di dada sebaliknya sebagai renungan bersama, agar segala peristiwa pahit yang pernah melanda sebahagian artis ini menjadi pengajaran terbaik buat yang lain untuk tidak mengulanginya di lebaran baru 2011.
1. Fahrin Ahmad: Tersentap dengan kenyataan Linda Onn yang mendakwa menuduhnya sebagai kaki pukul ia membuatkan aktor bertubuh sasa mengambil keputusan nekad untuk menyaman deejay Suria FM tersebut.
Mengadakan sidang akhbar meminta Linda memohon maaf dalam tempoh tujuh hari, majlis tersebut turut menyaksikan aktor berbadan sasa ini menangis kerana terkilan dengan apa yang telah berlaku.
Cucuran air mata Fahrin membuatkan ramai pihak terkedu dan terkejut serta bersimpati dengannya. Mungkin simpati hanya ada pada insan lain namun di pihak Linda, dia tidak kisah untuk disaman serta bersedia untuk bertemu dengan aktor tersebut di mahkamah bagi menjelaskan kdudukan sebenar.
Dalam ketegangan itu akhirnya atas nasihat rakan-rakan seni Fahrin yang berkobar-kobar mahu menyaman Linda telah melupakan hasratnya itu demi kesejahteraan industri hiburan.
Ahmad Nabil Ahmad: Akibat keceluparan mengutuk filem lakonan sendiri, dia hampir-hampir disaman sebanyak RM2 juta oleh penerbit filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie, SDAF Pictures.
Nasib lelaki kelahiran Negeri Sembilan ini amat baik kerana saman tersebut ditarik balik atas sebab-sebaba yang tidak pasti.
Tamat cerita saman, kehangatan kisah cinta Nabil pula muncul. Setelah beberapa tahun menyulam cinta dengan pelakon dan pengacara Irma Hasmie akhirnya percintaan itu terlerai di tengah jalan. Semua ini dikatakan berpunca daripada kecurangan Nabil yang khabarnya berjaya dihidu Irma.
Irma yang tidak dapat menerima keadaan itu telah membuat keputusan nekad dengan memutuskan hubungan mereka. Belum pun reda kisah tersebut, gambar-gambar Nabil bersama kekasih barunya, Qasha pula berselerak di laman web. Paling kecoh apabila gambar bercium mereka berjaya didedahkan. Enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjang kisah dongeng itu , Nabil secara gentleman telah mengeluarkan kenyataan bahawa gambar tersebut hanyalah sekada superimposed. Jangan tertipu ye!
2. Ammar Alfian Aziz: Model dan pelakon suam-suam kuku ini telah membuat tindakan berani mati. Berikutan tak puas hati dengan sikap jurugambar yang meminta kekasih hatinya, Puteri Sarah Liyana bergambar bersama Nabil semasa preview filem Lu Fikirlah Sendiri The Movie, Ammar dikatakan telah menunjukkan muka yang ketat.
.Tahap suhu panas Ammar yang sedang mengelegak itu telah membuatkan dia nekad menulis di status Facebooknya mahu membunuh orang-orang media yang telah membakar hatinya. Keberanian Ammar akhirnya memakan diri apabila dia diboikot oleh wartawan hiburan. Selang beberapa bulan kekebalan Ammar terlerai juga apabila dia tampil mengadakan sidang media yang dianjurkan oleh Persatuan Seniman untuk memohon maaf.
3. AC Mizal: Siapa kata nak jadi usahawan senang? Pelbagai onak dan duri perlu dihadapi pengacara dan pelakon popular AC sendiri diugut bunuh oleh pesaingnya. Demi keselamatan dia telah pun membuat aduan polis serta kelaurganya dijaga oleh pengawal peribadi.
Tidak cukup dengan itu, dia juga menerima tamparan paling hebat apabila dikatakan menjual gelang berharga RM 75 pada RM1,000. Bukan setakat itu sahaja cubaan yang diterima AC, perniagaannya juga dikatakan tidak berlesen.
Segala serangan peribadi itu dilemparkan oleh blogger-blogger dalam blog sahaja. Menganggap tindakan tersebut sebagai pengecut mencabar mereka untuk tampil bersemuka dengannya.
4. Dr Fazley Yaacob: Lebih dikenali sebagai Dr. serta ahli motivasi yang berjaya ini mengemparkan masyarakat tempatan apabila sebuah laporan BBC mengatakan bahawa PHD yang dimilikinya itu sebenarnya tidak diiktiraf.
Oleh kerana itu, pihak Universiti Wales mengantung sementara kerjasama mereka dengan kolej milik Fazley, Fazley International College(FIC).
Secara berhemah, Fazley mengakui dia memang sendiri pernah berasa was was dengan PHD yang dimilikinya. Dek kerana itu dia sendiri telah hampir dua tahun tidak menggunakan pangkal Dr. dihadapan namanya.
Malah demi membuktikan keikhlasannya dalam menangani masalah tersebut dengan rela hati dia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif kolej tersebut .
5. Erma Fatima: Bukan sekadar gimik sebaliknya akibat kecil hati dengan sikap penulis biografi dan pengkaji sejarah, Datin Seri Fatini Yaacob yang tidak henti-henti mengkritik hasil kerjanya, ia membuatkan pengarah teater Natrah, Erma Fatima nekad mahu menarik diri daripada mengarahkan musim kedua teater tersebut.
Tindakan Erma bukan sahaja mengejutkan para pelakon bahkan membuatkan pihak Istana Budaya tersenak perut apabila mendengar kenyataannya.
Namun selepas tiga hari tidak menghadirkan diri pada sesi latihan Natrah, pengarah berusia 40-an ini akhirnya menyedari tindakan tersebut sebagai bacul dengan membiarkan produksinya terkapai-kapai tanpa sentuhannya. Akhirnya kembali mengarahkan teater terbabit dengan sukses.
6. Rita Rudaini: Kisah pasangan suami isteri ini memang paling pening dan migrain jika direnung bersama. Ia bermula dengan siri permasalahan mereka menerusi pendedahan Rita yang mengakui rumahtangganya telah diganggu pihak ketiga hingga menyebabkan menyebabkan cinta di antara mereka mula semakin tipis.
Rita dengan berani juga mengeluarkan kenyataan bahawa orang ketiga yang dimaksudkan itu adalah pihak keluarga Aidil. Hal ini menyebabkan keluarga Aidil terpaksa campur tangan dan menyangkal dakwaan tersebut. Malah, mereka memberitahu bahawa mereka sudah lama menerima Rita. Namun Rita pula yang enggan berbaik dengan mereka.
Dalam waktu yang sama, Rita jujur mengakui amat menyayangi suaminya. Tak mahu berpisah, Rita sebolehnya cuba untuk menyelamatkan rumahtangga supaya cinta dan kasih yang disemai di antara mereka berdia akan terus berbunga.
Dalam kekecohan itu, pasangan tersebut dikatakan telah pun berbaik semula dan membuatkan semua peminat tersenyum gembira. Baru hendak menarik nafas lega, alih-alih rumahtangga mereka dikatakan ditiup angin taufan sekali lagi.
Segala-galanya bermula apabila Aidil menfailkan dua tuntuan iaitu hak penjagaan anak sulung mereka, Aidit Rayyan Rizqin dan perintah isteri kembali taat (nusyuk). Tindakan Aidil yang tidak dijangka itu membuatkan aktres kelahiran Perlis ini terkejut dan terkilan dengan perbuatan suaminya itu. Rita yang sememangnya mahu menjernihkan suasana nampaknya terpaksa menerima hakikat perlu berdepan dengan suaminya itu di mahkamah.
7. Erra Fazira: Tidak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba rumahtangga Erra dan Engku Emran dikatakan bergoyang. Pelik memang pelik sebab mereka sentiasa dilihat mesra dan cinta selamanya.
Kesibukan Erra di pentas teater Muzikal Tun Mahathir, pentas tari Mari Menari membuatkan gosip tersebut bertebaran di awangan. Menafikan sekeras-kerasnya gosip berkenaan, Erra menganggap ia sebahagian daripada jenaka yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan dirinya .
Bagi primadona filem Melayu ini dia lebih senang membiarkan gosip itu berlalu tanpa mahu memeningkan kepalanya berfikir mengapa ia boleh terjadi.
8. Dr. Rozmey Che Din: Dari seorang penjual produk ubat kuruskan badan iaitu Jusmate, Dr Rozmey cuab tukar haluan dengan menjadi pembikin filem. Filem berkisar tentang transeksual iaitu Dua Alam menjadi taruhannya.
Belum pun, filem ini siap separuh jalan, sudah timbul kontroversi melibatkan pengarahnya iaitu Hairie Othman. Entah apa sebabnya, Hairie Othman telah disingkirkan daripada filem tersebut dan tempatnya telah digantikan oleh pengarah lain.
Lanjutan daripada itu, Dr Rozmey pula membuat pelbagai statement kelakar serta menggemparkan industri perfileman tanah air. Belum pun mendapat tarikh wajib tayang daripada Finas, Dr Rozmey, sudah pandai-pandai cakap bahawa filemnya akan ditayangkan pada tarikh itu dan ini.
Meneruskan legasi lawaknya, Dr Rozmey canang satu Malaya cakap filemnya itu akan berjaya mengutip 40 juta. Bahkan dia juga khabarnya turut mengatakan bahawa dia tidak memerlukan Finas untuk menayangkan filemnya itu di pawagam.
Namun, Dr Rozmey akhirnya terpaksa akur dengan segala prosedur yang telah ditetapkan oleh Finas tentang hal-hal berkaitan dengan wajib tayang.
Berbalik tentang filem 2 Alam, itu dengarnya setakat RM 430, 000 sahaja. Aduhai Dr. Rozmey...Namun, disebabkan statement lawaknya itu, wujud komuniti anti Dr Rozmey di laman sosial Facebook.
9. Raja Azmi Raja Sulaiman: Cerita hubungan rapat antara Raja Azmi dan Roslin Hashim ini rasanya telah lama diperkatakan. Keakraban mereka ini seharusnya tidak perlu dipersoalkan kerana suami Raja Azmi, Jalani Sidek sendiri pun tidak pernah mempertikaikan jadi mengapa yang lain pula terlebih-lebih mahu mencurigainya.
Namun bukan semua pihak dapat memahami hubungan rapat mereka termasuklah isteri Roslin, Nurhayati Othman (kini bekas isteri). Akibat mencurigai hubungan mesra kedua beradik angkat itu, famili Nurhayati telah mengekori pasangan tersebut dan telah pun menyerbu Roslin dan Raja Azmi ketika mereka berdua sedang lepak di Hotel Corus.
Terkejut dengan tindakan Norhayati tersebut, Roslin serta-merta telah melafazkan cerai kepada Nurhayati yang hanya dinikahinya sekadar 28 hari sahaja. Bertitik tolak daripada itu, Raja Azmi dianggap sebagai punca perceraian mereka berdua.
Tidak cukup dengan itu dugaan seterusnya yang melanda penerbit kontroversi itu apabila ditahan di lokap atas kesalahan kerana gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan satu kes berkaitan jenayah komersial. Penahanan tersebut membuatkan Raja Azmi berkurung seketika bagi menenangkan fikirannya.
10. Ahmad Idham & David Teo: Rasanya tahun ini keakraban antara pengarah Ahmad Idham dan penerbit popular David Teo semakin utuh. Lepas satu per satu projek antara mereka meletup, kedua-dua mereka dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Finas.
Perlantikan tersebut nyata memberi impak yang bukan sedikit dalam industri hiburan tanah air. Begitupun, ramai pengkarya seni meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan perlantikan tersebut yang dikhuatiri mampu menimbulkan konflik kepentingan diri.
Bahkan kehangatan nama Idham bertambah lagi apabila dia disebut-sebut sebagai calon favourite yang akan menjawat jawatan Ketua Pengarah Finas yang sehingga kini masih belum diumumkan.
Benjy- Berita penangkapan anak lelaki tunggal seniwati popular Azean Irdawaty ini turut menggemparkan seluruh negara. Masakan tida, Benjy ditahan reman bagi membantu siasatan kes membabitkan penemuan dadah yang bernilai RM650,000 dan RM 2,000 (syabu) di sebuah kondominium di ibu kota.
Jika disabitkan kesalahan mau Benjy menerima hukuman gantung. Alhamdulillah, berkat doa ibu tersayang dan peminat, Benjy akhirnya terlepas daripada hukuman tersebut setelah dia didapati tidak terlibat dalam kes besar itu.
Namun dia tetap didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah berjenis syabu dan kesnya masih lagi diperbicarakan serta dia juga kini ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak.
11. Badrul Muhayat: Akibat mengasari isteri, Julia Daud, aktor Badrul Muhayat telah didakwa di mahkamah. Setelah didapati bersalah, dia akhirnya dibebaskan dengan bayaran kompaun sebanyak RM 1000 kepada isterinya.
Ingatkan dah insaf atas perbuatannya, namun sayang sekali Badrul Muhayat masih lagi mengulangi perbuatannya yang tidak beradab itu.
Badrul bertindak memukul Julia, setelah isterinya cuba menghalangnya daripada melarikan wang untuk membayar kompaun yang ditetapkan mahkamah. Drama pasangan tersebut rasanya tidak akan berulang lagi kerana pasangan tersebut akhirnya bercerai September lalu.
12. Fasha Sandha: Tidak lengkap jika diari kehidupan aktres jelita ini tanpa sebarang berita yang berbentuk sensasi atau pun kontroversi.
Menyulam cinta secara rahsia bersama bekas suami Nora Danish, akhirnya aktres kelahiran Johor Bahru ini membuat pengakuan terbuka bahawa dilamun cinta dengan lelaki tersebut.
Pengakuan yang dinanti-nantikan itudiumumkan setelah kekasih hati Fasha menerima ganguan sms dari pelakon Tiz Zaqiah. Tiz dikatakan telah berani mati mengajak Jejai keluar pada jam 4 pagi. Akibat kejadian itu, Fasha telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada pelakon Nur Kasih itu di Twitter sehinggalah perselihan faham tersebut dihidu oleh pihak media.
Tidak mengaku bersalah, Tiz menjawab segala kenyataan Fasha sebagai tidak berasas. Tetapi segala kekusutan tersebut terlerai apabila Jejai tampil menjadi hero dengan membuat pengakuan bahawa memang benar Tiz ada menghubunginya bukan sekali ya, tapi sebanyak empat kali. Kalau tak kerana kes sms itu, mungkin percintaan mereka masih lagi menjadi rahsia.
13. Saiful Apek: Penangkapan pelawak popular Apek serta lima orang rakannya,di sebuah apartment di Subang Jaya mengejutkan peminat seni tempatan. Dalam serbuan itu pihak polis mendapati sejumlah 40 gram ganja dalam rumah tersebut. Setelah ditahan reman beberapa hari, Apek akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis.
Terlalu tertekan dan terperanjat dengan apa yang terjadi, pelawak berusia 41 tahun ini nekad mahu mengundurkan diri sementara waktu daripada bidang glamor ini. Atas nasihat dan dorongan rakan-rakan, Apek akhirnya kembali mewarnai dunia seni hiburan.
13. Mamat Khalid, Ahmad Idham & Farid Kamil: Tidak puas hati dengan keputusan Festival Filem Malaysia -23 (FFM 23), Mamat Khalid dengan berani dan lantangnya telah menyuarakan ketidak puasan hatinya mengenai proses penjurian yang mengangkat Magika sebagai Filem Terbaik serta Syamsul Yuosf sebagai Pengarah Terbaik. Bahkan Mamat juga terfikir mahu memulangkan semula trofi kemenangannya yang lalu.
Namun atas nasihat rakan-rakan akhirnya niat tersebut dibatalkan. Sementara itu, pengarah Ahmad Idham dan Farid Kamil pula sedara terang-terangan turut mengkritik kemenangan Syamsul.
Bertubi-tubi mengeluarkan kenyataan memprotes kemenangan Syamsul, ia secara tidak langsung membuatkan anak pengarah Datuk Yusof Haslam itu juga bengang dan membalas kenyataan mereka bagi membela diri. Begitu juga dengan Edry sendiri.
14. Ning Baizura: Album tidak laku, penyanyi popular Ning Baizura disaman penerbit dan pengurus warga Itali, Luigi Bajona. Semuanya berlaku apabila Bajona tidak berpuas hati apabila album tersebut tidak berjaya mendapat pulangan seperti yang diharapkan sewaktu penyanyi itu berada di bawah pengurusannya.
Bagi Ning, saman itu tidak masuk akal kerana album tidak laku bukan silapnya senang cakap sudah tidak ada rezeki. Tidak cuak, Ning bersedia berhadapan dengan Bajona di mahkamah kelak.
15. Johan Raja Lawak: Bermula dengan sekadar perbincangan bersama pengarah Mohd Javed Mohd Nizar, diskusi tersebut bertukar menjadi perang. Berikutan panas hati dengan sikap Johan yang dikatakan kurang disiplin pada ketika itu, Javed dikatakan telah membaling gelas kaca di muka Johan.
Balingan tersebut telah menyebabkan Johan mengalami kecederaan yang teruk di muka. Demi menegakkan keadilan, Johan akhrinya membawa perkara tersebut ke mahkamah bagi menuntut keadilan yang sewajarnya untuk renungan bersama.
16. Dato Siti Nurhaliza: Terikat dengan jadual kerja menyebabkan Dato Siti Nurhaliza tidak dapat menghadirkan diri pada majlis perkahwinan adiknya, Saerah. Tindakan Siti itu telah menimbulkan tanda-tanya. Namun, Siti menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak dapat dielakkan.
Selain daripada itu, bagi memberi peluang kepada artis-artis lain untuk merasai kemanisan di Anugerah Bintang Popular, Siti turut mengumumkan penarikan dirinya daripada pertandingan tersebut.
Yelah, selagi Siti tidak tarik diri peratusan untuk artis lain membawa pulang trofi agak sukar, kerana asyik-asyik Siti sahaja yang akan menang. Kelass tindakan Siti!
Dalam pada itu, wujud gosip yang mengatakan bahawa Siti ada pergi ke klinik kesiuburan di London untuk mendapatkan anak. Malah, Siti juga banyak berehat untuk membolehkan dia mendapat zuriatnya
17. Zizan Nin: Mahu menjadi artis yang baik serta mendengar kata, Zizan akhirnya menolak tawaran membintangi semula Teater Muzikal Tun Mahathir. Semoga itu dilakukan kerana mengikut nasihat pihak pengurusannya Aquila Emas yang tidak puas hati dengan pembayaran yang diberi oleh penerbit iaitu RM12, 000.
Pihak pengurusan merasakan tawaran tersebut tidak setimpal dengan pengorbanan Zizan dalam teater tersebut lantas meminta RM 40,000 kepada penerbit. Permintaan tersebut dianggap tidak masuk akal oleh pihak penerbit kerana belum pernah dalam sejarah industri teater tempatan, harga pelakon dibayar sebegitu.
18. Edry KRU : Dituduh menplagiat lagu nyanyian Diana Ross, bagi ciptaan lagu Aku Ada Kamu, Edry KRU khabarnya telah naik hantu. Mendakwa perkara tersebut ditimbulkan oleh wartawan Malay Mail, Joe Lee yang juga seorang blogger, Edry dikatakan mahu menyaman penulis tersebut.
Bukan mahu mencari publisiti murahan, dengarnya pihak KRU mengambil serius isu tersebut. Mereka merasakan penulisan Joe Lee sejak dahulu lagi agak cenderung menghentam mereka.Kini trio beradik popular itu dalam proses pertimbangan sama ada mahu menyaman atau tidak blogger tersebut.Semua hasil penulisan Joe Lee sudah pun berada ditangan peguam untuk dinilai.
19. Aman Shah: Dalam keheningan suasana beraya, penyanyi dan pelakon veteran Aman Shah turut bikin gempak. Dia ditangkap khalwat dengan seorang janda yang dipercayai kekasihnya. Berikutan penangkapan tersebut dia dihadapkan ke mahkamah dan tidak mengaku bersalah. Biasalah apabila tidak mengaku bersalah, kini dia sedang menanti untuk dibicarakan pada Januari tahun hadapan.
20. Fauziah Nawi: Dramatis popular ini diberi kepercayaan mengarahkan filem Zaiton yang memaparkan kisah hidup penyanyi Zaiton Sameon. Namun, kepercayaan penerbit terhadapnya luluh apabila hasil kerjanya dikatakan tidak mencapai piawaian penerbit. Dek kerana itu, dia disingkirkan, senang cakap kontraknya ditamatkan.
Kecewa dengan Fauziah, penerbit terpaksa mencari pengarah baru untuk menjalankan pengambaran semula. Meskipun memakan kos yang tinggi tapi penerbit tidak kisah asalkan dapat hasil yang sempurna macam filem orang lain.
21. Roslan Shah: Penangan membawa watak Mami, tauke rumah urut lelaki atau gay dalam filem Chukang arahan Shuhami Lua Abdullah meninggalkan kesan yang mendalam buat Roslan Shah. Bayangkanlah, dia diugut dan dimaki kaw-kaw oleh segelintir anti-gay tempatan.
Bukan sahaja kiriman sms bahkan panggilan telefon yang bertubi-tubi. Jelas Roslan, apa yang dilakonkan hanyalah mengikut arahan pengarah tapi dia juga tak menyangka akan menerima bahana seperti itu.
22. Ifa Raziah: Benda kecil sahaja, tapi kerana tidak puas hati inilah jadinya. Pengacara dan penyanyi dangdut ini hanya bertanya mengenai duit khairat kematian ibu setelah mengetahui duit tersebut ada. Bukan berniat mahu mengambilnya pun meskipun wanita berusia 34 tahun ini telah menguruskan segala hal pengebumian ibunya.
Tapi sungguh tak disangka, persoalan tersebut menimbulkan ketidakpuasan hati pada adik lelakinya yang sekaligus telah membantainya dengan topi keledar. Benjol dan luka membuatkan Ifa nekad mendakwa adik kandungnya ke mahkamah.
23. Datuk Sharifah Aini: Diizinkan Tuhan menunaikan fardu Haji baru-baru ini, kenyataan Datuk Sharifah Aini tentenag isu bertudung menimbulkan persoalan bagi sesetengah pihak.
Secara ikhlas kak Pah mengeluarkan kenyataan hanya akan bertudung sekiranya sudah sampai seru serta benar-benar bersedia untuk melakukannya. Dia juga tidak mahu bertudung kerana desakan masyarakat.Baginya biarlah perlakuannya dilakukan atas kerelaan dan keikhlasan hatinya.
Kenyataan kak Pah, mungkin secara tidak langsung ada pihak yang menganggap dia memerli sesetengah pihak, namun kak Pah tidak berniat ya nak kaitkan dengan sesiapa. Apa yang diluahkan hanyalah sekadar pendapat peribadinya.
24. Eira Shazira & Azad Jasmin: Tidak menjadi cinta bersama Faezah Elai, pelakon Azad Jasmin akhirnya berjaya mengubat luka dihatinya apabila dipertemukan dengan dramatis Eira Syazira. Dua tahun main tarik-tarik tali, akhirnya baru-baru ini pasangan ini membuat pengakuan sememangnya bercinta.
Jawapan klise mereka enggan menghebahkan perhubungan tersebut ialah tidak mahu peminat jelak dengan kisah-kisah peribadi yang dipaparkan. Selain itu mereka juga takut mendengar percintaan pasangan artis yang asyik putus di tengah jalan.
Jalan yang terbaik ialah mengumumkan hal tersebut kepada masyarakat. Namun, kini lain pula jadinya. Azad Jasmine dikatakan berstatus suami orang. Namun, ia telah dinafikan oleh Azad Jasmine mahu pun Eira sendiri.
25. Zizie Ezette & Datuk Bung: Setelah perkahwinan rahsianya bersama ahli Parlimen Kinabatangan diketahui umum, suami Zizie Ezette iaitu Datuk Bung Mokhtar Radin telah dihadapkan ke mahkamah kerana berpoligami tanpa kebenaran. Abang serta adik Zizie turut didakwa kerana bersubahat. Tetapi berkat doa dan keikhlasan mendirikan masjid, pasangan tersebut hanya dikenakan bayaran denda.
26. Azwan Ali: Bukan berniat memalukan sesiapa sebaliknya pengacara kontroversi Azwan Ali dengan beraninya telah tampil dengan buku Selamat Jalan Dunia Pondan. Ditulis khusus buat tatapan ramai, kata Azwan buku itu tidak berniat hendak menyentapkan hati mana-mana pihak terutamanya golongan pondan.
Senang cakap Azwan suruh masyarakat membaca dahulu buku tersebut sebelum membuat penilaian. Selain itu dia juga bertekad tidak mahu lagi menulis di blognya lagi. Keputusan itu diambil setelah mendapat hidayah sewaktu mengerjakan umrah buat kali yang kedua pada bulan puasa yang lalu.
27. A.Aida & Ameng: Berpisah sudah lama, tiba-tiba kisah antara mereka muncul pula.Semuanya bermula apabila Ameng ditahan kerana didakwa memasukkan dadah jenis ganja dalam badannya. Ameng bagaimanapun membela dirinya dengan memberitahu bahawa semua itu adalah konspirasi bekas isterinya A.Aida dan suami barunya.
Kenyataan Ameng membuatkan A.Aida pula terasa. Dengan pantas A.Aida mengadakan sidang media menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ameng. Kata A.Aida, dia tidak pernah ada hati mahu menjatuhkan Ameng, sebaliknya dia turut mendedahkan Ameng yang sebenarnya pernah beberapa kali mengugut menerusi sms yang mana memaksanya membuat laporan polis.
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku A.Aida telah menyaman malu Ameng. Sementara itu, Ameng pula didapati bersalah oleh mahkamah majistret terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badannya. Dia dijatuhkan hukuman dua bulan penjara atau denda RM 4,000.
28: Tom @ Raja Farah: Niat baik sekadar mahu membantu seorang rakan lelaki yang terdesak dengan isterinya yang tiada tempat tinggal lalu menumpangkan mereka di rumah, membuatkan Juara My Starz LG musim ketiga, Tom atau nama seberanya Raja Farah dibelasah teruk.
Semuanya berlaku apabila Tom diajak berbincang oleh keluarga mertua kepada si rakan lelakinya yang mendakwa Tom telah mencederakan isteri rakan lelakinya itu yang sedang hamil.
Perbincangan yang diharapkan berjalan dengan baik bertukar menjadi pergaduhan ganas apabila pihak keluarga mertua rakan lelakinya itu naik hantu kerana tidak puas hati dengan tindakan Tom berpura-pura dan dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan rakan lelakinya itu serta melayan isteri lelaki tersebut dengan teruk sewaktu menumpang di rumah Tom.
29. Datuk Paduka Sosilawati Lawiya: Bermula cerita mahu membeli tanah, akhirnya ia membawa padah kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya apabila ditemui mati dalam keadaan yang ngeri. Selain Sosilawati, tiga lagi individu lain antaranya pemandu Sosilawati dan pegawai bank turut ditemui mati. Kesemua mereka dibunuh secara kejam sewaktu mahu mengadakan rundingan pembelian tanah.
Pembunuhan Sosilawati yang dilakukan secara kejam itu telah menjadi sebuah kes profil besar di mahkamah. Sedikit-sebanyak, nama bekas suami Sosilawati yang terdahulu iaitu Nash yang juga vokalis Lefthanded turut terpalit sama.
Sementara itu, pengarah filem Dr. Mahadi J Murat bakal menerbitkan filem cereka berjudul "Sosilawati, Cerita Seorang Wanita" yang bakal memaparkan kisah hidup wanita tersebut.
30. Ayu OIAM: Juara One In Amillion musim kedua ini, secara tiba-tiba menghilangkan diri tanpa berita. Bukan sahaja peminat, media bahkan pihak pengurusannya juga tidak dapat menjejaki Ayu yang menghilang lebih setahun. Kehilangan Ayu diiringi dengan khabar berita yang mengatakan dia telah pun hamil sebelum menikah.
Dalam kecoh-kecoh kisahnya itu, Ayu tampil berani membuat pengakuan. Segala gosip tersebut ditepisnya bulat-bulat dan Ayu menjelaskan telah pun bernikah dahulu baru hamil. Majlis pernikahan tersebut hanya diadakan secara kecil-kecilan sahaja. Pengakuan itu secara tidak langsung menghapuskan segala teka teki yang bersarang di minda semua. Tetapi sama ada cerita yang disampaikan Ayu boleh dipercayai atau tidak terpulanglah kepada penilaian masing-masing.
31. Jimmy Shanley: Baru melayari bahtera perkahwinan sekitar empat bulan kisah rumahtangga pengacara cute, Jimmy Shanley mula diperkatakan. Semuanya bermula apabila gosip berputar-putar kencang mengatakan isteri Jimmy, NorSuhaila Eliani melarikan diri dari rumah akibat perselisihan faham.
Berikutan gosip tersebut telah menyebabkan kisah rumahtangga pengacara yang popular dengan tagline Yezza ini semakin diintai. Agak mengejutkan apabila timbul pula gosip mengatakan Jimmy bakal menghadirkan diri ke mahkamah bagi menyelesaikan kemelut berkenaan. Namun ianya hanyalah sekadar khabar angin semata-mata apabila Jimmy muncul memberikan penjelasan bahawa segalanya cuma omongan serta kisah dongeng belaka.
32. Raja Farah: Kenyataannya untuk menamatkan zaman remajanya pada usia yang muda tidak lama dulu telah menimbulkan khabar angin yang kononnya dia sedang hamil sebelum bernikah. Khabar angin ini timbul sejajar dengan perubahan bentuk fizikal Raja Farah yang dikatakan telah naik dengan begitu mendadak. Raja Farah telah menafikan hal tersebut. Kini, dia selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihannya.
33. Ayu Raudhah: Hubungan cintanya adik kepada pelakon Rozita Che Wan iaitu Ayu Raudhah dengan salah seorang kembar kepada pemain bola sepak negara iaitu Zaquan Adha sememangnya mendapat perhatian ramai. Namun, Ayu nampaknya lebih suak berteka-teki tentang statusnya dengan adik ipar kepada aktres Rita Rudaini ini. Namun, segala-galanay mual terjawab apabial Zaquan sendiri mengesahkan bahawa dia akan mengahwini Ayu pada 20 Januari 2011 tahun depan.
34. Rozita Che Wan: Bukan hanya setakat dikenali sebagai pelakon yang berbakat, namun Rozita juga turut dikenali sebagai pengusaha bulu mata palsu yang cukup berjaya. Apa tidaknya, banyak tempahan bulu mata palsu yang diterimanya daripada pelanggannya yang terdiri daripada peminat serta kalangan selebriti. Tak sia-sialah usaha Rozita mempromosikan bulu mata palsunya yang dipakai selama ini.
Atas sebab itu, Rozita juga khabarnya sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni lakonan tidak lama lagi. . Lagipun, itu adalah salah satu caranya untuk menghindarkan gosip dan kontroversi dengan beberapa lelaki yang asyik dikaitkan dengan dirinya. Lebih-lebih lagi dari kalangan suami orang serta VVIP.
No comments:
Post a Comment