SHAH ALAM: Mayat 25 pelancong Thai yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai dua hari lepas dibawa pulang dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand pada Rabu.
Kedua-dua pesawat itu berlepas ke Terminal Tentera Sayap 6, Lapangan Terbang Don Muang, Bangkok kira-kira pukul 5 petang dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.
Seorang daripada 10 pelancong Thai yang cedera dalam kejadian itu juga dibawa pulang ke Bangkok dengan salah sebuah pesawat itu.
Kesemua mayat itu dibawa dengan sebuah treler dan sebuah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang siap dimasukkan ke dalam keranda dan tiba dipangkalan ini pukul 3.30 petang.
Kedua-dua pesawat itu tiba di pangkalan pada pukul 1.37 petang dan 2 petang bersama kira-kira 30 anggota keluarga mangsa yang maut dan juga Setiausaha Menteri Luar Thailand Chavanond Intarakomalyasut dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular, Kementerian Luar Thailand M. Ittarong.
Tiga mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Bukit Kayu Hitam untuk dihantar ke Haadyai manakala enam lagi masih menerima rawatan di HRPB.
Kerajaan Thai telah menghantar dua pesawat itu untuk membawa pulang mayat 25 warganya yang terbunuh dalam kemalangan bas itu, yang turut mengorbankan pemandu bas dan pemandu pelancong warga Malaysia, manakala 10 lagi pelancong Thai cedera.
Sementara itu, M. Ittarong berkata kemalangan ngeri seperti itu yang sememangnya tidak dijangka, tidak akan sesekali merenggangkan hubungan antara dua negara yang sedia terjalin.
Ittarong berkata beliau menghargai dan berterima kasih atas kerjasama dan layanan baik yang diberikan kerajaan Malaysia dalam menyediakan keperluan perubatan, tempat tinggal ahli keluarga mangsa hinggalah kepada proses penghantaran pulang mayat mangsa.
"Kemalangan ini sesuatu yang menyedihkan, mereka semua (pelancong) datang ke sini untuk menikmati percutian mereka, malangnya kejadian ini berlaku," katanya.
"Tetapi kami juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Menteri Luar Malaysia atas jasa baik mereka... kami amat menghargainya," katanya.
Keluarga mangsa bagaimanapun gagal ditemubual memandangkan mereka masih lagibersedih atas kejadian malang yang menimpa ahli keluarga mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kei berkata beliau berharap rakyat Thailand khususnya tidak serik untuk mengunjungi dan melawat Malaysia atas apa yang menimpa kesemua mangsa.
"Saya harap rakyat Thailand tetap akan mengunjungi negara ini seperti biasadan mahu hubungan dua hala yang sedia ada berjalan dengan baik," katanya yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Kemalangan maut dua hari lalu itu menyebabkan 25 pelancong warga Thailanddan dua rakyat Malaysia terbunuh selepas bas persiaran yang mereka naiki terbalik ke dalam longkang di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada pukul 11.40 pagi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment