KUALA LUMPUR: Penyampai radio, Faradina Mohd Nadzir atau Dina Nadzir, 25, mengakui rindu untuk menyanyi semula apabila terpaksa melupakan seketika bidang tersebut.
Pemenang tempat kedua Malaysian Idol musim pertama ini memberitahu terpaksa melepaskan kerjaya nyanyiannya bagi menumpukan perhatian sebagai penyampai radio di stesen radio Era FM.
“Saya masuk ke industri ini sebagai penyanyi tetapi rezeki saya tidak lama di situ. Saya terpaksa memilih sama ada nyanyian atau penyampai radio.
“Bukan senang untuk beri komitmen kepada dua-dua bidang serentak, jadi dengan berat hati saya terpaksa melepaskan kerjaya nyanyian saya,
“Namun bagitu, jauh di sudut hati saya rindu untuk menyanyi semula dan biasanya saya melepaskan rindu ketika melakukan persembahan untuk Era FM dan sesi karaoke bersama keluarga dan rakan-rakan sahaja,” katanya yang hampir dua tahun meninggalkan bidang tersebut.
Bagaimanapun, Dina menafikan kecewa dengan industri nyanyian sehingga menyebabkan dia menukar kerjaya sebagai deejay radio.
“Saya bukan kecewa dengan industri ini tapi saya sudah jumpa jalan dan hala tuju kerjaya yang sesuai dengan saya.
“Lagi pula sejak menjadi penyampai radio saya lebih memahami trend lagu semasa. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk genre yang saya bawa. Masyarakat kini lebih gemar muzik indie,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya dia masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi suatu hari nanti.
“Saya sudah siap merakamkan 13 buah lagu untuk album terbaru tetapi di sebabkan perkara ini saya pendam dahulu sehingga tiba masa yang sesuai. Ada juga di antara lagu-lagu diambil untuk buat lagu tema drama tempatan,” ujarnya yang tidak mahu lagi dikenali sebagai Dina Malaysian Idol.
No comments:
Post a Comment