Wednesday, December 22, 2010

Mata Galak Bawa Tuah Sara Ali


Sara Ali dijangka menggegar dunia lakonan tahun depan menerusi lima buah filem.

KUALA LUMPUR: Biarpun masih baru dan belum dikenali ramai, pelakon Sara Ali yang sudah membintangi lima buah filem sepanjang tahun ini berkata, peluang itu diperolehi bukan kerana populariti.
Sebaliknya, dia percaya ia dipengaruhi oleh tarikan mata yang galak dan bakat yang dimilikinya.
Menurut gadis berusia 20 tahun itu, sebagai orang baru dia sama sekali tidak menduga akan diberikan satu demi satu peluang lakonan meskipun kemampuannya masih belum dilihat oleh khalayak umum lagi.
Biarpun baru setahun jagung, Sara telah membintangi lima filem iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Penunggu Istana, Klip 3GP, Nur Kasih dan yang terbaru Songlap.
Menjelaskan perkara tersebut, Sara berkata, kebanyakan pengarah dan penerbit yang menawarkan peluang lakonan kepadanya memberitahu tarikan matanya yang galak dilihat bersesuaian untuk menjayakan watak dalam kelima-lima filem berkenaan.
"Sejujurnya, saya tidak sangka peluang berlakon akan datang silih-berganti. Secara logik, saya masih terlalu baru dan tidak dikenali pun tetapi pihak penerbit dan pengarah berani mempertaruhkan saya dalam lima filem itu.
"Kata mereka, saya mempunyai sepasang mata yang galak dan mampu menterjemahkan watak-watak yang dikehendaki dalam filem-filem tersebut.
Sara bergandingan dengan Shaheizy Sam (kiri) dan Syafie Naswip sebagai teraju utama filem Songlap.

"Watak-watak yang saya mainkan dalam lima filem itu pula bukan watak kecil atau tambahan. Kesemuanya watak penting dan mencabar termasuklah watak utama untuk filem Songlap di samping Shaheizy Sam dan Syafie Naswip," katanya.
Tambah Sara, pada awalnya, dia sekadar ingin mencuba nasib apabila menghadiri sesi ujibakat filem Sesuatu Yang Tertinggal pada Mac tahun ini.
Menyangkakan penglibatan dalam filem seram itu adalah yang pertama dan terakhir buatnya, dia bagaimanapun terkejut apabila satu persatu peluang menyusul selepas itu ekoran bakat dan tarikan matanya.
"Pada awalnya, saya sekadar mencuba nasib ketika menghadiri ujibakat filem Sesuatu Yang Tertinggal arahan Asrulhisyam Ahmad.
"Apabila diterima untuk membintangi filem itu, saya sangka itu adalah lakonan yang pertama dan terakhir. Namun, tidak sangka pula saya ditawarkan satu persatu filem selepas itu sehinggalah ke hari ini.
"Kini, saya mahu fokus dalam bidang ini kerana saya sukakan lakonan dan berasa teruja setiap kali berada di lokasi penggambaran," katanya.
Kesemua filem lakonan pelajar jurusan Seni Bina di Universiti Lom Kok Wing ini bakal ditayangkan pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment