PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan supaya sebuah Badan Siasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan bas di jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai yang mengorbankan 27 orang baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata badan berkenaan akan turut meneliti struktur keseluruhan operasi kenderaan perdagangan.
Beliau berkata pengerusi dan anggota badan itu akan dilantik selepas kementerian mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara.
"Perdana Menteri amat dukacita dengan insiden ini, malah kami semua sangat prihatin, maka sebab itulah kami mengambil serius perkara ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.
Dua puluh lima pelancong Thai dan pemandu bas serta pemandu pelancong warga Malaysia terbunuh selepas bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik ketika sedang menuruni destinasi pelancongan tanah tinggi itu pada Isnin, dalam kemalangan jalan raya yang dipercayai paling buruk di negara ini.
Sepuluh pelancong Thai cedera dalam kemalangan yang berlaku pada 11.40 pagi ketika bas itu dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur di manamereka sepatutnya menaiki penerbangan untuk pulang ke Bangkok.
Kong berkata badan itu akan meneliti penyelarasan dan kebertanggungjawaban bukan sahaja membabitkan badan pelesenan tetapi juga pengusaha dan pemegang permit.
"Malah syarat yang ditetapkan kepada pengusaha, jenis kenderaan perdagangan, kecekapan pemandu dan sama ada syarikat terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan dalam permit," katanya.
Beliau berkata jika badan itu mendapati sebarang pelanggaran syarat, mereka yang bertanggungjawab akan didakwa, katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment