KUALA LUMPUR: Penyanyi Mizz Nina sudah menentukan warna dan tema untuk empat resepsi perkahwinannya dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh yang dijadualkan pada Julai tahun depan.
Ia melibatkan warna hitam, putih, ungu dan berpakaian Jepun.
Kata Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, adalah penting bagi dia dan Noh untuk merancang majlis perkahwinan mereka lebih awal supaya ia berlangsung dengan sempurna.
"Saya merancang untuk menggunakan warna hitam dan putih yang mencetuskan elemen klasik pada majlis akad nikah saya pada 1 Julai sementara untuk majlis resepsi pada 3 Julai pula saya memilih warna ungu bersesuaian dengan konsep perkahwinan kontemporari moden Melayu.
"Untuk warna ungu pula saya akan menggunakan dari warna ungu pekat sehinggalah ungu cerah. Ia turut diadun dengan warna perak dan kelabu," katanya kepada mStar Online, Isnin.
Nina hadir ke majlis pengumuman Konsert Ambang 2011 Kuala Lumpur di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini.
Dia akan membuat persembahan pada malam 31 Disember nanti bersama artis-artis seperti Amy Search, Datuk David Arumugam dan Ramlah Ram. Nina akan mempersembahkan lagu popularnya What You Waiting For.
Mizz Nina dan Noh telah pun melangsungkan pertunangan pada 6 November lalu dengan kehadiran tetamu terdekat seramai 50 orang di rumah keluarga Nina di Ampang Jaya, Selangor.
Menurutnya lagi, untuk majlis resepsi bersama pihak media dan rakan-rakan yang akan diadakan di Doubletree Hotel Hilton pada 6 Julai, dia dan Noh akan menggunakan tema Jepun kerana mereka berdua amat meminati budaya masyarakat negara itu.
“Kebetulan pula moyang saya ialah orang Jepun. Jadi tema berkenaan amat sesuai untuk saya. Noh pun suka dengan cita rasa itu.
“Untuk majlis di rumah pihak lelaki pula kami belum memikirkan konsepnya lagi,” katanya yang juga anak Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim.
Sementara itu mengenai perkembangan terkininya, Nina berkata, dia baru pulang dari Sri Lanka tiga hari lalu selepas membuat promosi muzik dan nada dering.
"Saya merupakan antara artis pertama membuat promosi di Sri Lanka. Muzik dan nada dering saya boleh diperoleh di sana. Saya cuba untuk menguji pasaran yang berbeza," katanya.
Promosi dan pengenalan nada dering itu merupakan usaha pertamanya sebelum mengadakan konsert di negara tersebut.
No comments:
Post a Comment