SEMEMANGNYA kehadiran Katrina Kaif di pentas Bollywood meraih populariti yang luar biasa. Sejak dikenali menerusi filem Hindi berjudul Boom sekitar 2003, pelakon yang memiliki raut wajah manis dan jelita itu pantas menjadi rebutan pelbagai pihak produksi filem dan agensi pengiklanan.
Ramai yang enggan melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat aktres kelahiran Hong Kong tersebut memandangkan dia memiliki etika bekerja yang berdisiplin dan sisi fotogenik di depan lensa kamera. Pada masa yang sama, Katrina dianggap salah seorang pelakon wanita di Bollywood yang berjaya menjiwai pelbagai watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Terbaru, profil karier Katrina mencatat satu lagi anugerah cemerlang yang didambakan oleh ratusan wanita di dunia ini. Bagi tiga tahun berturut-turut, pelakon berusia 26 tahun itu sekali lagi diiktiraf sebagai Wanita Paling Seksi di Dunia 2010, kendalian akhbar Eastern Eye's.
Ia merupakan akhbar yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris untuk komuniti Asia di London.
Meskipun tercalon bersama barisan pelakon Bollywood yang berkaliber dan terlebih dahulu mencipta nama di peringkat antarabangsa tetapi Katrina tetap menjadi pilihan ramai. Popularitinya bukan sahaja meniti di bibir peminat di India mahupun Pakistan malah melanda hati penduduk di London.
Bicara wanita muda setinggi 172 sentimeter itu, dia berasa terharu apabila sekali lagi diiktiraf dalam kategori sedemikian.
Rasa malu
"Secara jujurnya saya gembira tetapi pada masa yang sama terbit rasa malu apabila digelar wanita paling seksi sedangkan, secara peribadi saya tidak nampak sisi seksi itu pada diri saya kerana pada waktu senggang saya lebih selesa berbaju T dan berseluar jean.
"Gaun pendek atau terdedah pula akan digayakan sewaktu menghadiri majlis formal, hiburan atau berprestij. Kadangkala teman-teman baik saya pun turut mentertawakannya kerana menganggap gelaran seksi itu tidak ideal buat saya," jelas anak kepada pasangan Mohamed Kaif berketurunan India dan Suzanne Turquotte (warga Britain), dalam satu pertemuan bersama media.
Walau bagaimanapun, Katrina yang rapat dengan ibunya, sempat melahirkan rasa terima kasih kepada peminat yang sudi mengundinya.
Tambah duta syampu Pantene itu: "Saya gembira menjuarai senarai Eastern Eye's kerana England sememangnya negara istimewa buat saya. Pada masa yang sama, saya rasa bertuah diundi sebagai wanita paling seksi oleh penduduk tempatan di sana."
Secara ringkasnya, pemilihan kategori berkenaan dibuat berdasarkan gambar wanita yang paling banyak dirakam dan paling dikehendaki oleh penerbit filem dan peminat.
Inspirasi Barbie
Menyusuri perihal Katrina yang pernah membesar di Hawaii, selain gelaran wanita paling seksi, dia juga dikenali sebagai boneka Barbie Bollywood. Raut wajahnya yang manis, bertubuh langsing dan berjaya dalam karier secara tidak langsung memikat pengeluar anak patung Barbie, Mattel Inc. di India, memilihnya sebagai inspirasi Barbie.
Kelahiran anak patung Katrina itu menunjukkan kejayaan dirinya mencipta nama dan pengaruh di pentas antarabangsa. Paling mengujakan adalah apabila boneka Barbie Katrina Kaif telah dipamerkan di Muzium Barbie di Amerika Syarikat dan bakal dijual di seluruh dunia.
Namun tidak dinafikan masih ramai yang tidak menyedari bahawa sebelum bergiat aktif dalam bidang lakonan, Katrina terlebih dahulu bergelar model katalog dan beraksi di pentas peraga. Dia yang dilahirkan pada 16 Julai 1984 telah memulakan karier model tatkala menginjak usia 14 tahun. Tugasan pertamanya ialah menjadi model untuk kempen koleksi barang kemas.
Menyedari bidang peragaan semakin sebati dengan dirinya, Katrina mula mendaftarkan diri dalam agensi model 1 Agency di London. Berkat usaha dan komited yang diberikan, Katrina diberi peluang beraksi untuk kempen iklan jenama pakaian dalam La Senza dan Arcadius. Ini termasuklah melibatkan diri dalam pertunjukan fesyen di pentas peraga Minggu Fesyen Week.
"Meskipun sibuk di set penggambaran dan fotografi untuk pelbagai editorial majalah, tetapi saya masih aktif dalam bidang peragaan dan fesyen. Sebab itu, saya telah mengambil keputusan untuk melancarkan koleksi pakaian jenama saya sendiri.
"Jadi, bagi memastikan pakaian yang ditawarkan menepati cita rasa wanita zaman kini, saya telah bekerjasama dengan pereka fesyen Rocky S," tutur duta produk Olay dan Lux itu selanjutnya.
Tuah Slumdog
Selain Katrina Kaif, heroin filem Slumdog Millionaire, Freida Pinto, 26, juga antara pelakon dan model kelahiran India yang mencipta populariti tersendiri di persada Hollywood. Sejak membintangi filem arahan Danny Boyle yang berjaya meraih banyak anugerah itu, nama Pinto mula dikenali ramai.
Secara amnya, Freida yang dilahirkan di Mumbai, India juga merupakan seorang model pentas. Malah, bekas penuntut di Carmel of St. Joseph School di Malad itu pernah membuat kemunculan menerusi iklan komersial seperti berlian De Beers dan produk telefon bimbit Vodafone.
Seperti mana Katrina, Freida yang dibesarkan dalam keluarga berada sudah beberapa kali diumumkan sebagai wanita tercantik dunia oleh beberapa majalah antarabangsa.
Kemunculannya di pentas filem dan iklan peringkat antarabangsa, sebenarnya menggugat periuk nasi selebriti dan supermodel di sana.
Buktinya, sebelum ini media pernah melaporkan pemenang Oscar, Gwyneth Paltrow melahirkan kebimbangan sekiranyaa Freida Pinto merampas kontrak Estee Lauder yang bernilai 1 juta pound sterling (RM5.2 juta) daripadanya.
Semua itu gara-gara laman web dailymail.co.uk, pernah melaporkan bahawa Freida bakal menjadi wajah baru Estee Lauder.
Namun begitu, Gwyneth dapat menarik nafas lega apabila jenama kosmetik L'oreal terlebih dahulu memilih Freida.
No comments:
Post a Comment