Friday, December 17, 2010

Roy: 2 Watak Tun Siti Hasmah Akan DiPerkenalkan


KUALA LUMPUR 16 DIS 2010: Jika musim pertama, pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir menyaksikan watak Tun Dr Siti Hasmah di usia remaja dan dewasa telah dijayakan oleh aktres jelita Erra Fazira, namun untuk pementasan terbaru ini, ia menyaksikan peranan tersebut bakal dijayakan oleh dua orang pelakon berlainan.
Jelas penerbit teater tersebut, Siti Rohayah Atan, kelainan tersebut ditampilkan atas permintaan peminat yang mahu melihat perbezaan karektor tersebut.
"Kelainan yang paling ketara ialah kita akan tampilkan dua watak Tun Dr Siti Hasmah. Kalau sebelum ini hanya satu sahaja wataknya yang dipegang oleh Erra, kali ini akan ada dua orang yang membawakan watak itu. Semua ini atas permintaan peminat yang mahu melihat perbezaan watak tersebut pada usia remaja dan dewasa.
"Ramai peminat memberi respon apabila watak itu dijayakan oleh orang yang sama, mereka rasa kurang penghayatan. Jadi ramai yang cadang agar wataknya dibawa oleh dua orang yang berbeza," katanya ketika dihubungi murai.com.my.
Tambahnya lagi, penambahan watak tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada artis wanita lain untuk turut serta dalam teater yang mengetengahkan cerita tokoh pemimpin ulung negara.
Selain itu tutur Siti Rohayah atau lebih mesra dengan panggilan kak Roy ini, watak pencerita turut diperkenalkan untuk musim baru ini.
"Kita akan perkenalkan watak pencerita bagi membantu menyampaikan cerita agar mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai difahami. Kita hanya pentaskan babak-babak penting memandangkan masa pementasan tidak panjang, jadi ada peminat yang cakap ada babak yang tak dipentaskan maka kehadiran pencerita ini membantu menyambung cerita agar ianya menjadi lebih mantap dan berkesan," luahnya.
Mengulas mengenai penganti Erra dan Zizan Nin (watak Tun Dr Mahathir remaja) jelas kak Roy, beberapa nama telah disenaraikan namun tidak dapat diumumkan lagi memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan.
"Memang kami menerima cadangan daripada peminat di facebook yang mencadangkan nama Elly Mazlein, Vanidah Imran, Lisa Surihani sebagai penganti Erra, namun semua itu seda dalam pertimbangkannya. Sementara itu mereka juga mencadangkan Aaron Aziz, Ady Putra, Jehan Miskin dan ramai lagi untuk membawakan watak Tun Mahathir remaja. Apa yang boleh saya katakan semuanya masih lagi dalam perbincangan," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment