SINGAPURA 12 Dis. - Diplomat Singapura berpendapat pemimpin-pemimpin dari beberapa negara sekutunya di Asia sebagai korup, tidak cekap atau bodoh, demikian menurut pendedahan terbaru WikiLeaks hari ini.
Nota diplomatik sulit yang dikeluarkan laman web tersebut kepada kumpulan media Australia, Fairfax, mengandungi penilaian tidak elok melibatkan beberapa tokoh pemimpin di Malaysia, Thailand, India dan Jepun.
"Kepimpinan yang kurang cekap adalah satu masalah besar di Malaysia," kata setiausaha kekal di Kementerian Hal Ehwal Asing Singapura, Bilahari Kausikan kepada Timbalan Setiausaha Pertahanan Asia Timur, David Sedney, dalam satu kabel diplomatik bertarikh September 2008.
Bilahari dipetik sebagai berkata, situasi di Malaysia itu adalah mengelirukan dan berbahaya disebabkan kemungkinan yang jelas dalam konflik perkauman yang menyaksikan kaum Cina 'meninggalkan' Malaysia dan 'berpusu-pusu' ke Singapura.
Seorang lagi pegawai, Peter Ho dilapor sebagai menyifatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang oportunis yang tidak teragak-agak mengkritik Singapura jika keadaan wajar untuk beliau berbuat demikian.
Katanya, dakwaan mengaitkan Najib dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu pada 2006 juga akan terus menghantui karier politik Perdana Menteri itu walaupun beliau menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut.
Bilahari turut mengkritik kerajaan Thailand pada 2008 apabila melabel Perdana Menteri ketika itu, Thaksin Shinawatra sebagai korup bersama-sama pemimpin lain termasuk pihak pembangkang.
Beliau turut menyifatkan Putera Mahkota Thai, Maha Vajiralongkorn sebagai 'tidak menentu dan mudah dipengaruhi' sambil memberi amaran tentang ketidakstabilan politik yang akan berterusan di negara itu.
Dalam satu dokumen bertarikh 2009, duta Singapura Tommy Koh yang terkenal dengan perwatakan lembut dan pandai berpidato, menyifatkan Jepun sebagai 'pihak yang kalah besar' dalam konteks merapatkan hubungan antara China dan ASEAN.
India pula disifatkan sebagai bodoh dan 'separuh masuk, separuh keluar' dari ASEAN.
Setakat ini, Singapura masih belum memberikan reaksi berhubung pendedahan WikiLeaks itu, tetapi akhbar pro republik ini, Straits Times telah menyiarkan dokumen-dokumen tersebut di laman webnya. - AFP
No comments:
Post a Comment