Monday, December 13, 2010

Teater Muzikal Tun Mahathir (TMTM) 2: Zizan Nin Tarik Diri Kerana Bayaran

Tidak digugurkan sebaliknya aktor popular Zizan Nin mengakui dia menarik diri daripada menyertai pementasan musim kedua Teater Muzikal Tun Mahathir (TMTM) setelah dinasihatkan oleh pihak pengurusannya, Aquila Emas Sdn.Bhd.
Jelas Zizan, tindakan tersebut diambil berikutan pihak pengurusannya tidak bersetuju dengan kadar bayaran sebanyak RM12,000 yang ditawarkan oleh penerbitnya, Siti Rohayah Attan bagi membintangi teater tersebut.
"Saya akur dengan keputusan pihak pengurusan saya. Mereka tidak bersetuju dengan apa yang ditawarkan oleh penerbit teater tersebut kepada saya. Pihak pengurusan lebih memahami apa yang terbaik buat diri saya kerana segala bentuk pengurusan diri saya diatur oleh mereka sejak lima tahun lalu," katanya ketika dihubungi murai.com.my bagi mengulas lebih lanjut tentang pengunduran dirinya daripada membintangi teater TMTM bagi musim yang kedua.
Mengulas tentang kehendak pihak pengurusan yang meminta bayaran sebanyak RM 40,000 ribu daripada pihak penerbit, kata aktor yang membawa watak Tun Mahathir di usia remaja ini, pastinya harga tersebut diminta kerana bersebab.
"Mereka tahu apa yang terbaik untuk saya kerana penglibatan saya dalam teater ini pun kerana atas nasihat yang diberi oleh pihak pengurusan. Jadi apabila saya terlibat dengan teater ini ia mengambil masa yang lama maka mereka perlu perlu ambil kira segala-galanya.
"Menerima tawaran ini bermakna saya terpaksa tolak kerja yang lain. Harga yang ditawarkan pastinya bersebab dan apa yang dilakukan oleh mereka demi kebajikan dan kebaikan diri saya. Lagipun saya boleh terima tawaran yang lebih daripada harga tersebut jika saya terlibat dengan iklan komersial yang hanya makan masa seketika," katanya.
Menghormati keputusan yang diambil oleh pihak pengurusannya, jelas Zizan apa yang dikesalkan ialah tindakan tidak profesional pihak penerbit yang telah menghebahkan perkara tersebut kepada umum.
"Saya kesal kerana perbincangan ini hanya melibatkan pihak pengurusan dengan pihak penerbit. Tapi kenapa pihak penerbit perlu canangkan hal ini kepada orang ramai. Ini adalah perkara yang sulit dan tak sepatutnya diberitahu kepada orang ramai. Tak perlulah beritahu kepada seluruh Malaysia tentang isu yang seperti ini," katanya.
Menyambung perbualan kata aktor berusia 35 tahun ini, pihak penerbit hanya mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusannya tentang penglibatannya terhadap TMTM2 ini kira-kira dua hari sebelum sidang media dilakukan tetapi tiada kata putus yang dibuat.
"Dua hari sebelum sidang media, mereka ada berjumpa dan berbincang tapi tak ada kata putus diterima.Kemudian esoknya, mereka hanya hantar sms beritahu bayaran yang boleh diberi untuk saya hanyalah sebanyak RM12,000.
"Jadi pihak pengurusan saya menolak kerana menganggap bayaran itu tak memadai dengan komitmen yang diberikan untuk pementasan teater ini," ujarnya yang masih terbuka untuk bekerjasama dengan penerbit tersebut di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment