Friday, December 10, 2010

Tiga hero muda


GELAGATNYA yang mudah mesra, ceria dan tidak sombong jelas tersirna pada sesi fotografi eksklusifKosmo! di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur baru-baru ini. Biarpun namanya terlebih dahulu dikenali umum, pelakon kacak dan sasa, Fizo Omar tidak seperti sesetengah artis popular yang enggan digandingkan dalam sesi fotografi bersama artis-artis yang kurang dikenali.
Malah, sepanjang sesi fotografi menggandingkan dirinya bersama pelakon Aeril Zafrel dan Sharnaaz Basir Ahmad, Fizo kelihatan tidak kekok, malah selesa dan begitu profesional.
Anak kelahiran Kelantan yang sudah berkecimpung dalam dunia seni selama tiga tahun itu juga sebenarnya masih baru. Namun berbanding Aeril dan Sharnaaz, dia sudah terlebih dahulu membina nama dan tapak yang kukuh dalam dunia seni tanah air.
Sementelah, pendedahan dirinya menerusi drama-drama tempatan lakonannya membuatkan dirinya kini dikenali ramai.
"Bagi saya, artis baru dan lama sama sahaja. Kadangkala, artis baru yang lebih dikenali daripada yang lama. Kita sama-sama berada dalam industri ini. Jadi, mengapa perlu ada perasaan (sombong) begitu," tuturnya dengan nada tenang.
Berceloteh mengenai pengalaman awal bergelar pelakon, bicara Fizo, dia teruja melihat artis-artis terkenal yang sering ditontonnya di kaca televisyen seperti Fahrin Ahmad, Rita Rudaini dan lain-lain.
Perasaan gementar dan menggigil sentiasa menemani pemuda itu apabila berlakon di samping pelakon-pelakon yang lebih berpengalaman daripadanya.

SHARNAAZ, Fizo dan Aeril ialah generasi pelapis aktor tanah air.

"Melihat artis terkenal di depan mata ia membuatkan saya gementar dan takut untuk berlakon. Perasaan itu muncul kerana sebagai pendatang baru, saya takut dimarahi. Itu hanyalah perasaan saya sendiri, padahal mereka semuanya baik belaka dan banyak membantu," akuinya mengenang semula kenangan ketika mula-mula berlakon dulu.
Ketua Lipas
Baru berusia 25 tahun, Fizo bagaimanapun mempunyai prinsip dirinya sendiri untuk maju ke hadapan dalam karier yang dibinanya itu.
"Jika kita bawa diri dengan cara yang baik, maka baiklah orang di sekeliling kita dan begitu jugalah sebaliknya. Jika kita mahu orang lain sukakan kita, kita harus sukakan orang lain dahulu. Itu prinsip saya sebenarnya selama ini," jelas Fizo lagi.
Menurutnya, individu yang ingin berjaya harus mempunyai sasaran dalam apa jua bidang yang dilakukannya. "Saya harap sebelum umur mencapai 30 tahun, saya sudah menggondol anugerah yang mengiktiraf saya sebagai pelakon yang dihormati dan disegani ramai," bicaranya.
Melangkah setapak dalam karier lakonan, Fizo bakal menunjukkan bakat di pentas pementasan menerusi teater Siti Di Alam Fantasi yang bakal berlansung bermula 20 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Bergandingan dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem ke-22, Liyana Jasmay, Fizo menegaskan dia berasa gembira dan bersyukur diberi peluang untuk melibatkan diri dalam teater.
"Tidak dinafikan berlakon teater lebih sukar berbanding filem dan drama, tetapi saya berasa gembira kerana diberi kepercayaan.
"Ia juga pengalaman baru bagi saya dan melalui teater saya mendapat kepuasan yang lain daripada lakonan drama atau filem," ujarnya.
Menceritakan mengenai karakter lakonan dalam Siti Di Alam Fantasi, Fizo memberitahu, dia diberi kepercayaan untuk memegang bukan satu, malah dua watak iaitu sebagai Ketua Lipas dan Putera Raja.
Fizo tidak menafikan bahawa pementasan teater tersebut sememangnya menguji keberanian dirinya untuk menyanyi dan menari secara langsung di depan penonton.
"Ini kali pertama saya menyanyi dan menari di khalayak ramai. Secara tidak langsung, ia juga menguji keberanian saya.
"Tambahan pula membuat persembahan di Istana Budaya yang merupakan satu tempat yang berprestij untuk lakonan teater," tambah anak kacukan Melayu, Arab dan Siam itu.
Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui selama ini, dia sememangnya meminati teater, tetapi tidak berkesempatan berlakon teater kerana sibuk dengan jadual lakonan drama.
"Jadi, semasa diberi tawaran untuk Siti Di Alam Fantasi, saya terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon drama," ungkap pemegang Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis itu.
Selain teater, Fizo juga bakal muncul menerusi filem Hello arahan A.R Badul. Menerusi filem itu, dia bakal bergandingan dengan pendatang baru, Dayana yang dicungkil bakatnya melalui program realitiAnak Wayang.
Filem romantik komedi yang juga menampilkan Angah, Along dan Tauke dari program Raja Lawak itu akan menampilkan Fizo untuk watak utama iaitu sebagai Dr. Syafiq.
Aeril dampingi Lisa Surihani
Siapa yang kenal Sudin pasti kenal siapa Aeril Zafrel. Itulah karakter lakonan Aeril dalam filem yang sedang hangat diputarkan di pawagam saat ini, Aku Tak Bodoh.
TRIVIA AERIL ZAFRIL: Ketika dia terlibat dengan penggambaran sebuah babak sedih dalam filem Aku Tak Bodoh, dia telah kehilangan bapa kandungnya yang pulang ke rahmatullah.


Walaupun bukan karakter utama, namun watak pelajar sekolah yang mempunyai masalah disiplin dan seorang kaki pukul serta bermasalah dengan bapanya berjaya menonjolkan bakat lakonan Aeril.
Apa yang mencabar kewibawaannya sebagai pelakon baru menerusi filem Aku Tak Bodoh itu ialah dia perlu pandai bermain dengan emosi dan juga ada di antara aksi-aksi pergaduhan yang dilakukannya sendiri.
"Bukan sekadar itu, dalam satu babak saya perlu mengeluarkan air mata. Saya perlu lakonkannya dengan penuh beremosi supaya watak yang dibawa berkesan," ujar anak muda berusia 22 tahun itu.
Aeril berpendapat Aku Tak Bodoh dapat menarik golongan remaja untuk menonton filem itu kerana penceritaannya lebih berkisar kepada realiti remaja kini.
Bicaranya lagi, Aku Tak Bodoh dapat menyumbang 1001 pengajaran kepada semua golongan masyarakat memandangkan ia adalah sebuah filem yang berkisar mengenai isu semasa kekeluargaan.
Sebenarnya, Aeril bukan pendatang baru tetapi seperti juga Fizo, dia sebenarnya sudah tiga tahun menceburi bidang lakonan. Cuma dia tidak seperti Fizo yang telah menyerlah namanya terlebih dahulu.
Pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu pernah muncul di layar kaca menerusi drama Kisah Kaisara,Kasut Tumit Tinggi dan Senja Permai. Menerusi drama 13 episod arahan Hasyim Rejab berjudul Klik yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ceria tidak lama lagi turut menggandingkan Aeril bersama pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23, Lisa Surihani.
Sharnaaz selesa bersama Scha
Dia dihalang daripada menjadi pelakon. Itu kisah silam Sharnaaz Basir Ahmad. Pertama kali dia menyatakan hasrat untuk menceburi bidang lakonan, Sharnaaz dihalang oleh bapanya yang juga pernah berkecimpung dalam bidang muzik.
Akur dengan kehendak bapanya, Sharnaaz menceburkan diri dalam pelbagai bidang yang jauh tersimpang daripada minatnya itu.
"Apabila bapa tidak benarkan saya menceburi industri seni, saya pergi ke bidang lain. Antaranya bidang perbankan, gas asli dan jual beli hartanah.
"Kesemua kerja yang pernah saya lakukan sebelum ini, saya terasa seperti tidak pernah puas dan seperti kekurangan sesuatu," ujar anak muda kelahiran Pulau Pinang itu.
Bagi empunya diri yang menganggap Tan Sri P. Ramlee sebagai idolanya, pembabitan dirinya ke alam seni adalah seperti satu kepuasan. Sharnaaz mula mempersembahkan lakonannya kepada umum melalui drama bersiri Tari Tirana (2009) yang telah disiar di saluran TV3.
Antara drama dan filem yang akan dilayarkan di kaca TV lakonannya nanti ialah Anak Rintik Mendongak Ke Langit, Berselindung Di Sebalik Kaabah, KL Rock and Roll, Kita Musim Kedua danMimi Mencari Cinta.
Berbicara mengenai keserasian bergandingan bersama Scha Al-Yahya selama dua musim di dalam drama bersiri K.I.T.A pula, ujar Sharnaaz, dia sangat selesa berlakon bersama aktres cantik itu.
TRIVIA FIZO: Dia sebenarnya ialah pemain bola sepak profesional sehingga berjaya mewakili Malaysia bawah 16 tahun dalam Kejohanan Piala Nike yang diadakan di Korea Selatan.


"Saya selesa bergandingan dengan Scha kerana kami sama-sama dari Utara, dan sebagai orang Utara, cara gurauan kami agak kasar dan Scha tidak kisah. Mungkin itu juga sebabnya saya berasa senang ketika digandingkan bersama Scha," tambah pemuda berumur 25 tahun itu.
Apa yang menarik tentang pemuda berkelulusan Ijazah Logistik dari Kolej Olympia itu ialah dia menganggap segala cabaran yang dihadapinya sebagai seorang pelakon adalah perkara yang menyeronokkan.
"Saya tidak mahu anggap itu sebagai cabaran tetapi saya gelarkan ia 'keseronokan' melakonkan watak-watak yang mencabar itu," ujarnya lagi.
Menurutnya, watak yang paling seronok dilakonkannya ialah sebagai Inspektor Arshad dalam drama Pasukan Gerakan Marinyang kini ditayangkan di TV9, selain filem Seru.
"Filem Seru memerlukan saya menganggap kamera sebagai teman saya dan perlu bercakap dengannya.
"Bagi saya, itu adalah perkara agak sukar kerana kamera adalah suatu objek yang tidak bernyawa. Jika bersama pelakon, boleh juga saya hayati emosi bersama mereka," katanya sambil ketawa kecil.
Seru merupakan filem pertama lakonannya yang bergenre seram. Sharnaaz memegang watak utama sebagai seorang jurukamera yang menjadi satu-satunya watak yang berjaya terus hidup sehingga penghujung filem.

No comments:

Post a Comment