Friday, December 17, 2010

Tiket kereta api ETS terus dari Ipoh ke KLIA

KAKITANGAN ETS dan ERL menunjukkan replika tiket dan kereta api ETS selepas majlis tiket bersepadu ETS Ipoh-KLIA di Ipoh semalam.

IPOH - Orang ramai kini boleh menggunakan perkhidmatan kereta api terus dari bandar raya ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor dengan tiket bersepadu perkhidmatan tren elektrik (ETS)-KLIA dan ETS-LCCT mulai semalam.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan (gambar kecil) berkata, dengan tiket tersebut, pengguna kini boleh menggunakan kemudahan ETS dan Express Rail Link (ERL) untuk menuju kedua-dua lapangan terbang tersebut dengan satu tiket sahaja.
Katanya, tiket bersepadu itu boleh dibeli di kaunter ETS Stesen Keretapi Ipoh di sini dan Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur tanpa perlu membuang masa beratur di kaunter ERL untuk membeli tiket lain.
"Bagi perkhidmatan ke LCCT pula, pengguna akan turun di perhentian Salak Tinggi dan dibawa ke LCCT dengan bas.
"Kerjasama strategik antara KTMB dan ETS ini memudahkan pengguna dan pelancong menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara dan melakukan perjalanan jarak jauh dalam keadaan selesa, selamat dan jimat," katanya.

No comments:

Post a Comment