Gambar Hiasan
SERDANG: Bahang pertandingan memancing sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha 2010), di sini, kian terasa apabila kaunter pendaftaran yang dibuka di Laman Perikanan mula menerima pendaftaran, semalam.Kaunter pendaftaran yang dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang itu, dikunjungi pemancing dari sekitar Lembah Klang yang hadir bagi menyaksikan pelbagai pameran yang dipamerkan sempena Maha kali ini.
Tinjauan di kaunter pendaftaran mendapati kebanyakan peserta enggan mengambil risiko mendaftar pada saat akhir.
Menurut seorang peserta, Adnan Datau, dari Kajang, Selangor beliau mengambil kesempatan mendaftar menyertai pertandingan memancing itu kerana tertarik dengan hadiah yang ditawarkan serta yuran penyertaan yang murah.
“Biasanya pertandingan memancing yang menawarkan hadiah RM25,000 untuk juara, yuran penyertaan ialah sekitar RM90 atau RM100 untuk satu joran. Bagaimanapun, bagi pertandingan ini, yuran penyertaan RM70 sahaja dan ia sangat murah,” katanya.
Pertandingan memancing Maha 2010 dianjurkan Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Maeps Management Sdn Bhd dan dikendalikan Wakjali Event Management.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM50,000 dengan juara akan menerima RM25,000, kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000. Hadiah wang tunai ditawarkan sehingga tempat ke-20. Kolam Maeps yang terletak di tengah-tengah tapak pesta MAHA International 2010, kaya dengan pelbagai spesies ikan terutamanya patin, tongsan, rohu, jelawat, temoleh, sebarau, baung, lampam, tilapia merah dan lain-lain.
Spesis terbesar ialah patin - dianggarkan seberat 16 kilogram - yang dilepaskan lebih setahun lalu. Selain pertandingan memancing, pengunjung ke Laman Perikanan juga boleh menyaksikan pelbagai teknik menternak ikan air tawar dengan teknologi terkini, pameran ikan hiasan serta jualan pelbagai jenis akuarium dan makanan ikan.Maklumat lanjut pertandingan, hubungi 013-6322137 atau 016-2937741.
No comments:
Post a Comment