Thursday, December 2, 2010

Tarikan 13 rumah negeri

SERDANG: Berkunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha 2010) seperti menjelajah satu Malaysia. Itu peluang keemasan yang tidak sepatutnya dilepaskan pengunjung sekiranya mereka berkesempatan berada di 13 rumah negeri.
Rumah negeri yang dikenali sebagai Pavilion itu dibina bagi mempromosikan pelbagai produk dan memperkenalkan budaya mengikut negeri masing-masing termasuk membuka peluang perniagaan baru di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini.

Urusetia Pavilion Negeri Sembilan, Mohammed Nazzeri Ramli berkata, selain memperkenalkan produk tempatan yang terkenal di negeri berkenaan seperti tembikar, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri cara ia dihasilkan.
“Bagi mereka yang datang di sini, mereka bolehlah menikmati keenakan air tebu istimewa yang sudah diiktiraf sebagai tebu terbaik di zon selatan.

“Malah, kami turut membuka peluang perniagaan kepada mana-mana individu yang berminat untuk berniaga air tebu melalui pakej modal yang hanya ditawarkan sempena Maha 2010,” katanya.

Selain daripada tarikan produk, rumah negeri juga mampu menggamit perhatian pengunjung melalui hiasan dan seni bina unik seperti replika labu sayong bagi Pavilion Negeri Perak.
Pengunjung, Siti Faridah Abu, 29, berkata, kesempatan melawat setiap Pavilion itu memberi pendedahan kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat budaya dan produk tempatan.

“Saya tidak perlu berbelanja besar untuk melawat Sabah dan Sarawak kerana segala-galanya mengenai budaya, sejarah dan kegemilangan negeri berkenaan sudah diperkenalkan di sini.
“Sebelum ini, mungkin warga tempatan sendiri tidak tahu semua elemen yang dipaparkan dan dipamerkan dalam Pavilion Negeri ini kerana tidak berkesempatan ke sana,” katanya.

Sementara itu, Pavilion Pahang antara tarikan utama berikutan ia adalah rumah negeri paling mahal dengan perbelanjaan mencecah RM1.5 juta.

No comments:

Post a Comment