Monday, December 13, 2010

Elak kesilapan mudah

Pemain skuad kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam

KUALA LUMPUR – Menyedari permainan pantas Vietnam, jurulatih K. Rajagobal mengingatkan pemain agar jangan mudah hilang bola pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF Rabu ini.
Menurutnya, pemain tidak boleh leka, sebaliknya cuba mengambil kesempatan melalui serangan balas pantas, demi mencari bekalan selesa apabila bertanding di Hanoi, pada perlawanan separuh akhir kedua.
“Saya mahu pemain menggunakan segala peluang, jangan mudah hilang bola, kerana ia mengundang bahaya. Kita menentang skuad senior Vietnam yang muncul juara pada 2008, mereka sentiasa menanti peluang kita melakukan kesilapan,’’ katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Jelasnya, pemain juga perlu memberikan yang terbaik, kerana beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya memberi peluang kepada semua pemain beraksi hari ini (semalam). Saya lihat mereka mempunyai kesungguhan.
“Perlawanan ini memberi petunjuk kepada saya mereka mempunyai keinginan untuk beraksi.
“Saya sudah ada senarai pendek kesebelasan utama, tetapi dengan pilihan pemain yang terhad, saya perlu melakukan rumusan terbaik siapa yang akan diturunkan,’’ katanya.
Pada perlawanan persahabatan semalam, Malaysia menewaskan pasukan bimbingan Razip Ismail 2-0, hasil jaringan Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-23, yang menolak masuk hantaran lintang Mohd. Sabre Mat Abu. Gol kedua menerusi Mohd. Khyril Muhymeen Zambri melalui sepakan penalti pada minit ke-40.
Perlawanan berlangsung selama 70 minit dengan Rajagobal menyenaraikan Mohd Sharbinee Alawee Ramli (penjaga gol), Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Razman Roslan, Khairul Helmi Johari, Mohd. Fadhli Mohd Shas, Mohd. Ashaari Shamsuddin, K. Gurusamy, Sabre, Mohd. Faizal Abu Bakar, Mohd. Safee Mohd Sali, Amri.
Pada babak kedua, Rajagobal menguji gandingan Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol), Mohd. Faizal Muhammad, Mohd. Muslim Ahmad, Asraruddin, Mahali Jasuli, Amar Rohidan, Mohd. Safiq Rahim, Mohd. Amirul Hadi Zainal, Khyril Muhymeen, Norshahrul Idlan Talaha, Izzaq Faris Ramlan.
Sementara itu, Rajagobal sependapat dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kita tidak perlukan pemain luar, kecuali yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
“Saya tidak berhasrat untuk melakukan proses demikian. Kita tidak tahu sejauh mana semangat jati diri pemain ini untuk menyarung jersi kebangsaan.
“Tindakan mengambil pemain luar akan menutup peluang pemain tempatan untuk beraksi.Saya rasa ia tidak adil,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment