KUALA LUMPUR – Pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menutup musim 2010 dengan gemilang, selepas merangkul kejuaraan Siri Super terakhir Terbuka Hong Kong apabila menumbangkan Taufik Hidayat straight set 21-19, 21-9 semalam.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang membuka tirai 2010 dengan menjuarai Terbuka Korea Januari lalu, mempertahan kejuaraan di Hong Kong untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$18,750 (RM58,753).
Chong Wei hanya mengambil masa 31 minit ketika mengenepikan Taufik, seterusnya mempertahankan gelaran pemain No.1 dunia dan gelaran kelapannya musim ini.
Bagaimanapun, Chong Wei terpaksa berhempas-pulas pada set pertama, apabila Taufik tidak memberi laluan mudah, dengan kedua-dua pemain saling berkejar mata sehingga terikat 17-17, sebelum menang 21-19.
Aksi pada awal permainan set pertama amat meyakinkan, dengan pemain yang memenangi pingat emas Sukan Komanwel New Delhi itu sering memerangkap lawan dengan pukulan balas pendek dan mengelirukan.
Sedar bahawa Chong Wei berada dalam keadaan terbaik, Taufik cuba mengikut rentak lawan dan mata yang diperolehi pemain pilihan ketiga itu, berjaya diperoleh dengan mudah melalui kesilapan yang dilakukan Chong Wei.
Set kedua menyaksikan Chong Wei tidak lagi menoleh ke belakang selepas meninggalkan lawannya itu 7-2 dan bahang kejuaraan semakin dapat dirasakannya apabila selesa di depan dengan 20-6.
Kejayaan Chong Wei setidak-tidaknya dapat mengubat kekecewaan selepas gagal memenangi pingat emas di Sukan Asia Guangzhou bulan lepas, apabila dikalahkan Lin Dan pada saingan akhir. Pada Terbuka Hong Kong, Lin Dan menarik diri pada suku akhir atas alasan kepenatan dan kecederaan.
Sementara itu, perseorangan wanita pula menjadi milik pemain India, Saina Nehwal apabila juara Sukan Komanwel New Delhi itu menewaskan Wang Shixian dari China 15-21, 21-16, 21-17.
No comments:
Post a Comment