KUALA LUMPUR - Igauan kekalahan 1-5 pada peringkat kumpulan kembali menjelma, apabila anak-anak buah K. Rajagobal sekali lagi akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 selepas pasukan Merah Putih itu menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir semalam.
Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama dan kedua untuk menempah pertemuan dengan Malaysia, yang lebih awal melayakkan diri dengan mengetepikan penyandang juara, Vietnam juga menerusi agregat 2-0 pada satu lagu separuh akhir.
Biarpun pasukannya menang pada perlawanan pertama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui resah dengan kelibat pemain muda negara.
"Peluang 50-50, perlawanan akhir adalah sukar dan kami akan ke Malaysia lebih awal pada 24 Disember ini untuk persiapan,'' kata Riedl.
Bagi kapten Malaysia, Safiq Rahim, melangkah ke final tidak memadai kerana dia dan rakan-rakan mahu mencari sejarah lebih hebat dengan menjulang trofi buat kali pertama.
Katanya, sejak awal saingan lagi dia yakin Malaysia mampu pergi jauh melihat kepada prestasi memberangsangkan, terutama ketika meraih pingat emas Sukan SEA di Laos tahun lalu dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou bula lepas.
Jelas pemain tengah Selangor itu lagi, keyakinan itulah yang banyak membantu menaikkan semangatnya untuk menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dan mencipta sejarah menjuarai kejohanan ini buat kali pertama.
"Sebelum ini kita hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, bagaimanapun hasil kerja keras rakan-rakan, kami semakin hampir untuk melakar satu lagi sejarah," katanya.
Safiq, 23, berkata, dia dan rakan-rakan tidak mahu menoleh ke belakang, selepas berjaya kefinal, sebaliknya mereka lebih bernafsu untuk menang.
"Situasi kami sekarang ini seperti ini, alang-alang sudah ke akhir biarlah sampai julang piala, apa yang harus kami lakukan ialah mengekalkan prestasi menjelang dua perlawanan akhir yang akan diadakan pada 26 dan 29 Disember ini,'' katanya.
Menurutnya, walaupun pernah muncul juara Sukan SEA tetapi ia tidak sama dengan Piala Suzuki AFF.
"Selepas kekalahan kepada Indonesia dulu kami duduk berbincang dan masing-masing menanam azam untuk menebus kembali kesilapan tersebut dengan menewaskan Indonesia di saingan akhir.
"Masing-masing berdendam dengan pasukan Indonesia, memang kami berkeinginan untuk jumpa mereka di final, dendam ini harus ditebus di atas padang dan perlu dibalas pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.
Keputusan seri 0-0 di Hanoi membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir mara sehingga peringkat tersebut pada 1996 yang menyaksikan skuad kebangsaan tumpas 0-1.
No comments:
Post a Comment