Thursday, December 16, 2010

Resepsi Tertutup Marion Caunter Di Mandarin Oriental


KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2010: Sebuah majlis resepsi secara tertutup antara pengacara TV popular Marion Rose Caunter bersama usahawan SM Nasarudin SM Nasimuddin akan diadakan di Ballroom utama Hotel Mandarin Oriental pada Jumaat ini bermula jam 7 petang.
Resepsi berkenaan adalah salah satu acara penting bagi kedua mempelai berkenaan iaitu selepas mereka diijab Kabul di kediaman keluarga Nasarudin di sekitar ibu negara, esok.
Sumber terdekat portal murai.com.my memberitahu, kedua-dua belah pihak telah melayangkan kad jemputan berlatarkan anggun hitam kepada tetamu undangan tertentu sejak beberapa minggu lalu dan setiap tetamu dikehendaki membuat pengesahan kehadiran sejak 1 Disember lalu.
Jelas sumber itu juga, para tetamu dikehendaki hadir dengan persalinan kemas di mana sut bagi tetamu lelaki manakala pakaian ala barat bagi wanita sesuai dengan tema majlis itu nanti.
Malah khabarnya, tiada jurukamera dibenarkan masuk sepanjang perjalanan resepsi, melain pihak tertentu yang telah dilantik sendiri oleh kedua mempelai untuk merakamkan hari bahagia berkenaan.
Sementara itu menurut pihak E! New Asia ketika dihubungi berkata, bahawa hanya saluran hiburan antarabangsa itu saja yang dibenarkan untuk membuat liputan sepanjang berlangsungnya majlis bahagia berkenaan berlangsung.
Murai.com.my turut diberitahu oleh sumber terdekat bahawa Marion atau nama Islamnya Marion Rose Caunter Abdullah telahpun memeluk Islam sejak Oktober lalu.
Bagi acara akad nikah, Marion dikhabarkan akan memakai persalinan santun rekaan pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim, manakala Vera Wang menjadi pilihan hos E! News Asia itu ketika acara resepsi berlangsung nanti.
Bagi melengkapkan impian kedua-dua pasangan berkenaan, sebuah lagi majlis resepsi akan diadakan di Maldives di mana hanya tetamu tertentu akan diterbangkan ke kepulauan indah berkenaan pada 18 Disember ini.
Selain dikenali sebagai pewaris syarikat automobil terbesar di Malaysia, Nasarudin telah melancarkan rangkaian fesyennya sendiri iaitu In Add Minus yang telah berpusat di Los Angeles. Majlis pelancaran jenama fesyen berkenaan telah diadakan pada November lalu dan ia telah dihadiri ramai selebriti popular Hollywood seperti Ann Kendrick, Jessica Szohr dan Matthew Marrison (Glee).

No comments:

Post a Comment