KUALA LUMPUR 5 Dis. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual berangkat menyempurnakan perasmian sambutan Maal Hijrah 1432H peringkat kebangsaan yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah, Selasa ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan di sini berkata, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah juga dijadual berangkat hadir ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.
Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, serta anggota Kabinet lain dan perwakilan asing.
Menurut kenyataan itu, tema 1Malaysia 1Ummah itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membina masyarakat bersatu padu berasaskan konsep 1Malaysia dengan membina perpaduan dan kekuatan bagi mencapai kegemilangan ummah berdaya saing dalam berhadapan arus globalisasi serta kemajuan sains dan teknologi masa kini.
Sebanyak 79 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan menyertai perhimpunan itu yang diakhiri dengan penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah.
Selain perhimpunan itu, sambutan Maal Hijrah kali ini juga dipenuhi dengan beberapa program termasuk Forum Khas Maal Hijrah yang membincangkan 1Malaysia 1Ummah: Hijrah Cinta, Bertaut Fitra serta Majlis Bacaan Surah Yasin dan bacaan doa di Masjid Negara pada Isnin ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment