Thursday, December 16, 2010

Ketahui Rahsia Pasangan Selebriti Dalam Serasi Bersama

KUALA LUMPUR, 15 DIS 2010: Selepas Sehati Berdansa, Astro Ria kini tampil pula dengan Serasi Bersama iaitu sebuah program berbentuk gameshow yang bakal mengetengahkan pasangan selebriti sebagai kalangan peserta.

Diadaptasi daripada program gameshow Mr & Mrs yang cukup popular di United Kingdom, Serasi Bersama adalah program berkonsepkan permainan yang menguji pengetahuan pasangan selebriti tentang hal-hal yang berkaitan dengan rumahtangga masing-masing.

Yang mana, setiap minggu sebanyak 3 pasangan selebriti akan bertanding untuk memenangi hadiah wang tunai yang akan didermakan di badan-badan kebajikan.


Apa yang menarik, program berbentuk gameshow ini akan dikendalikan oleh pengacara nombor satu Malaysia, Aznil Hj Nawawi bersama dengan Sharifah Sahirah.


Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, gandingan Aznil Hj Nawawi dan Sharifah Shahirah yang akan muncul secara berduet sebagai pengacara adalah amat bertepatan dengan kehendak dan konsep rancangan ini.

"Kami juga yakin dengan kebolehan mereka berdua untuk mengendalikan program ini dengan pantas. Begitu juga dalam mencari keserasian di kalangan peserta yang bukan saja terdiri daripada golongan pelakon dan penyanyi tetapi juga ahli sukan dan ramai lagi.

"Kebolehan mereka berinteraksi dengan bersahaja mampu menjadikan setiap pasangan ini lebih terbuka untuk berkongsi rahsia tentang pengalaman rumahtangga mereka," katanya kepada murai.com.my.



Antara pasangan selebriti yang bakal terlibat di dalam program Serasi Bersama ini adalah penulis novel terkenal, Ahadiat Akashah bersama isterinya Norhayati, pemuzik, Edry Hashim dan isterinya, Pat Candy, pelakon Mustapha Kamal dan isterinya Susan Menon, pelakon Adlin Aman Ramlie dan isterinya Emelda Rosmila, deejay ERa FM, Hanif dan isterinya, Noora, pengarah filem, Aziz M Osman dan isterinya, Lily, penyanyi veteran Dato A Rahman Hassan dan isterinya, Datin Azizah, pemain bola sepak, Dollah Salleh dan isterinya serta pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan, Bienda dan Boy.



Menurut Azlin lagi, dia juga berharap agar kemenangan tidak dijadikan objektif utama bagi setiap pasangan ini untuk menyertai program Serasi Bersama. Sebaliknya, matlamat yang lebih utama adakah untuk menambah erat hubungan mereka agar lebih saling memahami dalam menempuh kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Pemilihan pasangan popular ini juga adalah untuk menarik perhatian penonton supaya budaya mengekspresikan rasa kasih sayang di kalangan siami isteri dapat disemai di kalangan masyarakat.

"Namun, pada masa yang sama, kesungguhan setiap pasangan amat diharapkan sepanjang program ini dijalankan. Selain untuk kebaikan perhubungan mereka, hadiah kemenangan yang diperolehi juga akan disumbangkan kepada badan-badan kerajaan yang diwakili.

"Usaha murni ini dilihat sebagai serampang dua mata dalam mempertingkat hubungan erat suami isteri dan pada masa yang sama beramal kepada badan kebajikan yang amat memerlukan sumbangan dan perhatian orang ramai," katanya.

Antara badan kebajikan yang terlibat pula adalah All Women's Action Society (AWAM), Force Of Nature Aid Foundation, National Cancer Malaysia, National Council For The Blind, National Kidney Foundation, Peace Malaysia, Pengasih, Peace Malaysia, United Nations Children's Fund Malaysia (Unicef) dan WWF Malaysia.

Jangan lupa saksikan Serasi Bersama yang akan mula bersiaran di Astro Ria pada 19 Disember ini, setiap hari Sabtu dan Ahad, bermula jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment